(Prakata ini adalah pembuka kata kepada buku yang sedang saya susun, mengandungi rencana tulisan saya dalam siri ”Minda BISTARI” yang telah diterbitkan oleh Harian Metro pada 2009-2010. Buku ini akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat, insya Allah. Tajuk buku dan teks muktamad penulisan mungkin akan berubah, setelah dilakukan penambah-baikan dan diedit oleh penerbit).
Bangsa Melayu dan umat Islam kini dalam keadaan sangat tertekan. Rendahnya tahap pencapaian ekonomi tidak lagi mengizinkan kita mengulangi kaedah lama dan mengitar semula pendekatan serta dasar sebelum ini. Tindakan menggunakan kuasa politik, sekalipun tetap penting, jika diteruskan mengikut cara lama, tidak lagi memadai. Kita juga tidak lagi cuma boleh berharap kepada anjuran dasar dan program kerajaan untuk menemui jalan keluar.
Jelas, tanpa pembaharuan pendekatan dan strategi, kita bukan saja ketinggalan di takuk lama, bahkan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia pasti terus dipinggir, terketepi, lemah dan kekal bergantung hidup tanpa berdikari. Paling bahaya apabila kita kehilangan jatidiri dan identiti, justeru hanyut umpama buih-buih yang terapung tanpa arah dan tujuan mengikut kederasan arus dorongan kuasa dan pengaruh di luar kawalan kita.
Penulisan ini bertujuan membangkitkan kesedaran baru bangsa Melayu dan umat Islam ke arah memperkasa ekonomi menerusi pendekatan Jihad Bisnes secara berorganisasi dan menggunakan kaedah institusi Islam. Ia menganjurkan bisnes diperjuangkan sebagai satu jihad, secara kolektif dengan mengadaptasi secara kreatif institusi wakaf, menjadikannya Waqaf Korporat sebagai institusi barisan depan. Kaedah Waqaf Korporat ini menepati maksud Al Qur’an, Ayat 4, Surah As-Saf (61:4), ”Sesungguhnya Allah Ta’ala amat menyukai orang yang berjihad pada jalanNya, dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh.”
Bangsa Melayu dan umat Islam tidak akan berjaya membina semula kekuatan bangsa dan agama selagi kita tidak menjadi umat alyadul uliya – bangsa dan umat yang tangannya di atas atau the upper hand – yang menguasai harta kekayaan dan berjihad dengannya ke jalan Allah. Sesungguhnya, semua usaha Melayu memburu pembaharuan menerusi usaha menghimpun harta kekayaan tidak akan berjaya dalam erti kata sebenarnya tanpa berlandaskan Islam dan tanpa berpegang teguh kepada Tali Allah.
Pembaharuan menerusi kaedah Jihad Bisnes bukan satu retorik atau slogan kosong. Kaedahnya juga melibatkan dan mengangkat semua lapisan masyarakat dan umat – iaitu satu anjuran berciri ’dari bawah ke atas’ atau bottom-up dan tidak elitis. Jelas sekali pemegangan dan penggunaan kuasa di peringkat atasan dan elit semata-mata seperti amalan selama ini tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah pembangunan ekonomi dan politik Melayu.
Apa yang diperlukan ialah pendekatan memperkasa masyarakat terbanyak, dan kaedah terbaik ialah dengan memasyarakatkan dan menentukan teraju kuasa ekonomi diserah kepada tangan rakyat, atau rakyat diutamakan. Ini berupaya dilakukan menerusi institusi milik masyarakat seperti waqaf. Melalui kaedah Waqaf Korporat, hakmilik harta kekayaan boleh kekal terserah secara tidak langsung ke tangan rakyat terbanyak dan bukan cuma dimonopoli golongan terkaya dalam masyarakat. Al Qur’an juga tegas menganjurkan supaya harta kekayaan tidak dibiarkan berputar cuma di kalangan orang kaya saja dalam masyarakat. (Lihat maksud Ayat 7, Surah Al Hasyr, 59:7)
Jihad Bisnes nyata sangat inklusif, dan mengajak kita menyumbang kepada nilai ekonomi, memudahkan umat Islam diintegrasikan ke dalam sistem ekonomi global. Tegasnya, ia tidak menganjurkan kita menghalalkan segala cara, atau berjaya menerusi pendekatan dan cara bisnes yang merosak atau memudarat, jauh sekali menerusi kaedah yang batil, munkar, haram dan dilarang oleh Islam. Malahan, Jihad Bisnes menganjurkan supaya semua urusan bisnes dijadikan satu usaha ibadah dan satu perlumbaan dalam membuat kebaikan dan menyempurnakan amal soleh!
Ia juga sangat praktikal, boleh dicapai dan tidak mustahil dijayakan dengan berkesan. Pembaharuan mengikut kaedah Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan Islamic entrepreneurship yang dianjur dalam penulisan ini telah dijayakan dan diterjemah menjadi realiti selama hampir tiga dekad (1980-2010) di Johor Corporation.
Prospek menjadikan arus pembaharuan ini satu realiti lebih meyakinkan setelah Johor Corporation (JCorp) berjaya sebagai sebuah badan korporat cemerlang yang diterajui anak bangsa. Atas landasan Jihad Bisnes, JCorp menjadi bukti nyata bagaimana sebuah organisasi bisnes dan korporat milik kerajaan (GLC) boleh berperanan sebagai institusi pembangunan dinamik dengan program pembaharuan berkesan dan luar biasa.
Pencapaian korporat JCorp dilihat bukan saja dalam bisnes. Keupayaannya pernah diaplikasi ketika JCorp diamanahkan untuk membangun sebuah pusat bandar dan membina komuniti perbandaran baru di Pasir Gudang, Johor sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dijayakan dengan penuh cemerlang. Bermula daripada sebuah kampung nelayan kecil, Pasir Gudang berjaya dimajukan menjadi salah sebuah pusat pertumbuhan industri terulung di Malaysia. Paling menarik, pembangunan Pasir Gudang telah JCorp jayakan atas dasar amalan bisnes dan korporat, tanpa banyak bergantung kepada peruntukan dari Kerajaan sekaligus menjimatkan berjuta RM duit rakyat.
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berpeluang menjalankan amanah selaku Presiden dan Ketua Eksekutif (CEO) Johor Corporation selama 28 tahun (daripada Januari, 1982 hingga Julai, 2010) dan juga Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang selama 26 tahun (Januari 1982 hingga Julai, 2008).
Justeru, penulisan ini juga merupakan satu perkongsian pengalaman dengan harapan semoga pencapaian JCorp dapat dipanjang dan dipercambahkan kepada GLC dan organisasi korporat lain. Tujuannya supaya usaha menebus maruah bangsa Melayu dan memartabatkan umat Islam sebagai khaira ummah dapat dilipatgandakan kejayaan dan impaknya.
Semoga langkah memperkasa ekonomi ini akhirnya berjaya mengembalikan darjat ’Khalifah’ kepada umat Islam, sekalipun ia mungkin memerlukan ratusan tahun sebelum dilihat kesannya.
Secara peribadi, saya amat bersyukur kerana mendapat sokongan dan persefahaman rakan seperjuangan yang selama ini telah mencurah jiwa raga untuk menjayakan cita-cita bersama di JCorp. Bakat keusahawanan dan semangat juang semua anggota pekerja JCorp (bukan ’kakitangan’ kerana ia bertentangan dengan semangat Jihad Bisnes) juga merupakan kunci kepada kejayaan dan pencapaian JCorp selama ini. Sumbangan rakan CEO barisan depan di syarikat utama sangat terserlah dan terbukti berjaya membina daya saing JCorp hingga ke peringkat antarabangsa.
Alhamdulillah, JCorp berjaya dibina sehingga menjadi organisasi korporat kebanggaan bangsa, dengan lebih 280 anak syarikat dan 65,000 warga kerja pada akhir Jun, 2010. Nilai aset kumpulannya melebihi RM14 bilion, dan nilai pasaran saham (market capitalisation) 8 syarikat tersenarainya termasuk satu di London Stock Exchange melebihi RM 11.8 bilion pada tarikh yang sama.
Bayangkan jika terdapat 14 GLC negeri yang juga organisasi korporat seperti JCorp di Malaysia. Sudah pasti peranan institusi semua organisasi ini berupaya membawa impak pembaharuan besar kepada perjuangan Melayu memartabatkan bangsa dan agamanya.
Pencapaian memberangsangkan JCorp tidak diukur berdasarkan ukuran bisnes dan material semata-mata. Saya sangat berpuas hati apabila JCorp berjaya membangun satu barisan eksekutif dan usahawan intrapreneur anak bangsa (atau dalam istilah lain, Islamic entrepreneur), yang berkebolehan tinggi dan berdaya saing di pasaran.
Tegasnya, semua ini dicapai menerusi konsep organisasi bisnes yang tidak cuma mengambil jalan mudah mengikut sepenuhnya acuan Kapitalis Barat. Demikian juga, kejayaan ini dicapai dengan tidak menggunakan kaedah model bisnes yang menghalalkan segala cara, terutama dengan cara bertentangan dengan nilai hidup Islam seperti yang banyak berlaku di sekeliling kita.
JCorp tegas menggunakan kaedah Islam. Model Islamik amalan JCorp difokuskan bagi membina keperkasaan korporat dengan menerapkan sepenuhnya nilai Islam ke dalam amalan bisnesnya. Pertama sekali, JCorp melihat dirinya lebih sebagai institusi strategik dalam pembaharuan bangsa dan umat. Penerapan nilai Islam dan penyerasiannya dengan amalan bisnes dan korporat menjadi raison d’etre kepada JCorp dan dijadikan DNA organisasi ini.
Justeru, struktur organisasi, susunan strategi, sistem pengurusan dan budaya korporatnya dicorak, dirangka, disusun dan diatur untuk menepati niat dan matlamat penyerasian dengan prinsip Islam. Saya penuh yakin dan percaya bahawa ciri-ciri Islam inilah yang memberi kekuatan hebat dan semangat juang luar biasa kepada JCorp, barisan kepimpinan serta semua lapisan anggotanya.
Semua pembaharuan ini telah diserap ke dalam gerak nadi dan dijadikan darah daging kumpulan JCorp menerusi proses syura dan proses pembudayaan yang panjang, membabitkan seluruh anggota di semua peringkat dan lapisan. Ia dirangkum dalam konsep Intrapreneur JCorp, institusi Waqaf Korporat yang diperkenalkan, dan aspirasi Jihad Bisnes yang diperjuangkan. Ia juga diterjemah ke dalam matlamat perjuangan JCorp itu sendiri yang bersendi kepada aspirasi menegakkan keadilan dan meletakkan semua pada tempatnya.
Konsep pembaharuan amalan JCorp ini juga telah kerap dibentang dan didebatkan di beberapa forum dan seminar di luar JCorp termasuk di peringkat universiti dan beberapa ”think tank” di Malaysia. Alhamdulillah, gagasan Jihad Bisnes serta model JCorp telah diterima oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan dijadikan landasan perjuangan Dewan ini. Konsep pembaharuan ini kemudiannya turut diterima sebagai salah satu Resolusi utama Kongres Ekonomi Islam Ke-3 di Kuala Lumpur pada 12-15 Januari, 2009. Lanjutan daripada itu, satu sidang khas Wacana Jihad Bisnes telah dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, (YAPEIM) pada 5 Ogos 2009 di Kuala Lumpur bertujuan untuk memperkembangkan lagi idea dan penerimaan gagasan ini.
Konsep pembaharuan ini juga telah diketengahkan dalam beberapa seminar dan forum antarabangsa, termasuk di Seminar Waqaf Antarabangsa di Johor Bahru pada Ogos 2008, di Istanbul, Turkey, pada Oktober 2008, di Kuwait pada Februari 2009, Brunei Darussalam, pada Ogos 2009 dan di Dubai pada Februari 2010.
Kali terakhir, ia dibentangkan di The Inaugural Oxford Global Islamic Branding and Marketing Forum anjuran Said Business School, Universiti Oxford, United Kingdom yang diadakan antara 25 Julai hingga 27 Julai 2010. Saya yakin Universiti Oxford mengundang saya berkongsi pengalaman di JCorp kerana kejayaan bisnes dan korporat JCorp jelas membuktikan kewibawaan pendekatannya menggunakan kaedah Islam hingga mencapai kecemerlangan bisnes.
Pada pagi Selasa, 27 Julai 2010, sebaik saya selesai membentangkan ucaptama bertajuk ”Keusahawanan Islam (Islamic entreprenenurship)” di Dewan Nelson Mandela, Said Business School, Universiti Oxford, pengerusi sesi, Dr Pegram Harrison, Felo Keusahawanan, Said Business School, Universiti Oxford menyerahkan satu nota ringkas tulisan tangannya kepada saya berbunyi: ”Splendid. Truly inspiring!”
Namun, sekembalinya saya dari London, iaitu pada pagi Khamis, 29 Julai 2010, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Johor Corporation, segala-galanya berubah sama sekali. Pengerusi JCorp, Dato’ Abdul Ghani Othman telah menyampaikan keputusan Lembaga Pengarah yang memeranjatkan saya.
Tanpa kehadiran saya dalam mesyuarat, juga tanpa diberi apa-apa isyarat atau notis awal, Lembaga Pengarah JCorp telah menarik balik serta merta semua kuasa Presiden/CEO yang selama ini diamanahkan kepada saya dan menyerahkannya kepada satu Jawatankuasa Pengurusan baru, tanpa saya menjadi ahlinya. Lembaga Pengarah JCorp juga menuntut saya meletakkan semua jawatan pengarah dalam semua syarikat anak dan sekutu JCorp.
Jelas sekali suasana dan sekitaran di JCorp tidak lagi kondusif bagi saya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan selaku Presiden/CEO. Tanpa diberi peluang mengetahui sebab-musababnya, saya telah dipaksa menerima hukuman yang jelas tidak berasas dan tidak wajar. Ia juga jelas tidak adil, kerana saya tidak berpeluang membela diri. Atas dasar menegakkan prinsip hidup, saya telah berundur dan meletakkan jawatan serta merta selaku Presiden/CEO JCorp. Namun, atas pertimbangan yang lebih besar, juga setelah mengambil kira tanggungjawab fidusiari selaku Pengarah syarikat PLC, saya telah tidak meletakkan jawatan selaku Pengerusi syarikat PLC dan menyerahkannya kepada keputusan muktamad oleh semua pemegang saham syarikat terbabit.
Semua ini kemudian diikuti sepucuk surat rasmi yang saya terima daripada JCorp bertarikh 7 Oktober 2010. Antara lain, kandungan surat ini menuntut saya ”…membuat bayaran ganti rugi notis bagi tempoh notis yang tidak disempurnakan iaitu sebanyak 5 bulan”.
Saya mengambil keputusan menulis buku ini kerana kebimbangan saya terhadap masa depan JCorp serta kesinambungan perjuangan Jihad Bisnes dan kelangsungan institusi Waqaf Korporat yang dibangunkan menerusi penubuhan syarikat Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp). Kerana jelas terdapat tanda-tanda, dalam konteks persekitaran baru, JCorp dan WANCorp kini sedang melalui proses pencorakan semula peranan institusinya.
Jika ini berlaku, segala yang dibina di JCorp selama 40 tahun sejak ia ditubuhkan (termasuk 10 tahun pertama asas kukuh yang dibina oleh Tan Sri Basir Ismail, Ketua Eksekutif pertama JCorp serta Tan Sri Othman Saat, Pengerusi pertama dan Menteri Besar ketika itu), akan terungkai satu demi satu, langsung mengakibatkan kemusnahannya.
Andai ia menjadi kenyataan, satu usaha besar bangsa Melayu dalam memperkasa ekonominya akan sekali lagi terbantut, malangnya akibat tindakan berfikiran singkat di kalangan orang Melayu dan umat Islam sendiri. Kemusnahan JCorp boleh berlaku dengan salah satu atau kombinasi semua impak daripada tindakan berikut:-
- Tindakan menarik balik kuasa bertindak bebas pengurusan JCorp selama ini, dan autonomi syarikat anaknya, khasnya syarikat tersenarai (PLC) yang selama ini menempa kejayaan setelah mencontohi amalan bisnes dan urus-tadbir korporat sejagat. Ini telah pun berlaku kepada JCorp apabila ia diseru kembali kepada ”matlamat asal” dan mematuhi sepenuhnya rangka undang-undang penubuhannya. Dalam kata lain JCorp diarah kembali kepada status lamanya sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), sama seperti PKEN lain yang pada umumnya telah dijadikan alat politik dan tidak berupaya menyumbang kepada kekuatan ekonomi Melayu dan umat Islam seperti yang dicita-citakan;
- Kecenderungan menjual aset dan harta JCorp andainya dilakukan tanpa berfikir panjang, iaitu dengan cara ”asset stripping”, pada mulanya atas alasan menjelaskan hutang dan pinjaman JCorp melebihi RM3.6 bilion yang perlu dibayar balik menjelang Julai 2012. Dengan jumlah nilai harta melebihi RM14 bilion, JCorp mampu dan berupaya membayar balik secara terancang dan mengikut jadual yang boleh diterima oleh pihak bank peminjam.
- Sekalipun baru-baru ini JCorp telah menegaskan tidak akan menjual aset dan bisnes QSR Brands Bhd dan KFC Holdings Bhd milik syarikat anaknya iaitu Kulim Malaysia Bhd, tidak mustahil setelah bahang daripada tentangan masyarakat Melayu sejuk kembali, aset dan bisnes strategik kepada perjuangan ekonomi bangsa dan umat ini berkemungkinan akan dijual juga kemudian nanti. Kerana penjualan aset dan bisnes, khasnya yang dimiliki kerajaan, adalah antara cara paling mudah untuk sesiapa, termasuk para penasihat korporat dan investment banker, menjadi cepat kaya;
- Andainya satu hari nanti JCorp terus bertindak melepaskan pegangan saham PLC yang berperanan strategik dalam membina kekuatan jangka panjang ekonomi Melayu serta memperkasa daya saing Melayu-Muslim, (seperti dalam syarikat Kulim Malaysia Bhd, KPJ Healthcare Bhd, QSR Brands Bhd dan KFC Holdings Malaysia Bhd, pemilik rangkaian restoran di bawah jenama KFC dan Pizza Hut terbesar di rantau ini), ia akan menjejas kepentingan jangka panjang ekonomi bangsa Melayu dan melenyapkan potensi membina keupayaan bisnes dan korporat untuk generasi masa depan;
- Paling membimbangkan bagi saya ialah berlakunya suasana dalaman di JCorp yang mengakibatkan kehilangan autonomi pengurusannya. Ini boleh berlaku, misalnya sebagai kesan sampingan negatif tindakan kepimpinan politik dan pihak ketiga lain yang mencampuri secara langsung, iaitu micro-managing hal ehwal operasi bisnes JCorp. Semua ini akan mematahkan daya motivasi, entrepreneurial drive dan semangat juang seluruh lapisan anggota JCorp dan kumpulan syarikatnya.
- Sumber motivasi perkasa dan entrepreneurial drive JCorp selama ini telah dipupuk berdasarkan iklim organisasi, suasana pengurusan dan amalan budaya korporat yang mengupayakan dan memperkasa (empowering) semua eksekutif dan intrapreneur terbabit. Ia dijayakan dengan membuka luas ruang bertindak serta memberi kebebasan kepada intrapreneur menzahirkan inisiatif, daya kreatif dan bakat keusahawanan masing-masing.
- Iklim organisasi di JCorp juga harus terus bersikap toleransi terhadap kegagalan bisnes kecilan dan start-up. Ia bertoleransi terhadap kegagalan bisnes, asalkan semua terlibat memanfaatkan pengalaman pahit ini untuk bangkit semula dan maju ke depan. Ia juga berandaian bisnes start-up yang berjaya dan menguntungkan dapat membesar dan berkembang, bukan saja untuk menampung kegagalan dan kerugian start-up, malah pada jangka panjangnya menyumbang kepada pertambahan nilai dan penjanaan harta kekayaan dan dana JCorp.
- Jelas sekali iklim dan suasana entrepreneurial yang diperlukan ini tidak akan subur dalam organisasi birokratik yang lebih mengutamakan pematuhan kepada peraturan, undang-undang dan cuma mengikut arahan dari pihak atasan, khasnya daripada pihak luar JCorp.
- Terdapat tanda-tanda campur tangan pihak di luar organisasi JCorp, termasuk dari pentadbiran Kerajaan Negeri dan pihak lain yang cuba mencorak semula suasana pengurusan dan berkemungkinan mematahkan semangat dan daya keusahawanan di JCorp. Paling bahaya sekiranya syarikat dalam Kumpulan JCorp dicampuri kepentingan luar, digesa merombak sistem tender dan tekanan dikenakan supaya penawaran kontrak dibuat mengikut kaedah yang tidak telus dan berprinsipkan komersial.
- Demikian juga, semangat juang JCorp akan segera patah atau layu, apabila sistem pengiktirafan dan ganjaran tidak setimpal dengan usaha dan risiko mengikut prinsip dan amalan bisnes. Paling merosakkan andainya kadar ganjaran serta sistem pengiktirafan dilaksanakan mengikut kaedah amalan pentadbiran kerajaan untuk warga birokrat. Sistem amalan birokrasi sangat tidak sesuai untuk melahirkan daya keusahawanan tinggi dan jika dipaksa ke atas JCorp dan kumpulan syarikatnya akan hanya membawa kepada proses kemusnahan dan kehancurannya.
Jika semua ini berlaku juga, ertinya Jihad Bisnes akan terputus dipersimpangan jalan dan Waqaf Korporat yang modelnya telah pun diiktiraf ramai pihak akan berkubur tanpa nisan. Hilanglah sama sekali peluang bangsa Melayu menjayakan satu perjuangan yang berpotensi membawa pembaharuan untuk membina kembali martabat bangsa dan agamanya. Sia-sialah usaha membina keperkasaan ekonomi bangsa dan umat alyadul uliya.
Sekiranya semua ini dilakukan atas niat pihak tertentu yang berkepentingan sempit bertujuan merebut peluang untuk cepat kaya dengan ”memfaraidkan” atau menswastakan JCorp, ertinya ”Superman” telah berjaya menewaskan ”Khalifah”. Terlepaslah buat selamanya satu kesempatan bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia memperbaharui destini masa depan bangsa di bidang ekonomi mengikut acuan Islam yang mengutamakan kepentingan jemaah dan rakyat terbanyak yang dahagakan pembelaan.
Lebih tragis lagi, akan langsung hilang peluang unik bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia, sebagai salah sebuah negara Islam termaju di dunia, menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayahnya untuk memperkasa dan membela nasib umat Islam di seluruh dunia, yang pada sebahagian besar ditindas, dizalimi, dianiaya, dijajah dan diperkosa hak asasi oleh umat lain kerana kelemahan ekonomi mereka.
Semoga kebimbangan saya ini tidak akan menjadi kenyataan. Jika ia berlaku juga, keruntuhan JCorp akan mengulangi dan menambah satu lagi tragedi besar yang menghantui nasib bangsa Melayu dalam membina kekuatan ekonominya sejak berzaman.
Paling mendukacitakan, setelah JCorp hancur berkecai, menyesal kemudian tidak lagi berguna. Kerana setelah JCorp tumbang, musnah dan hancur, ia mustahil dibina semula. Nasi sudah menjadi bubur!
Renungkan pengajaran disebalik kisah Humpty Dumpty dalam nursery rhyme Inggeris yang kita kenali sejak zaman kanak-kanak lagi:-
”Humpty Dumpty sat on a wall
Humpty Dumpty had a great fall;
All the king’s horses,
And all the king’s men,
Could not put Humpty Dumpty
together again!”
Muhammad Ali Hashim,
Taman Tun Dr Ismail,
Kuala Lumpur.
ali.bizjihad@yahoo.comfrom: www.businessjihad.com
0 comments:
Post a Comment