Saturday, January 15, 2011

Tan Sri Muhammad Ali Hashim: Kenyataan Media Berkaitan Perletakan Jawatan Dalam 6 Syarikat PLC

KENYATAAN MEDIA,

Kuala Lumpur, 12 Januari, 2011

PELETAKAN JAWATAN TAN SRI MUHAMMAD ALI HASHIM SELAKU PENGARAH DAN PENGERUSI,

DI 6 BUAH SYARIKAT PLC DI BAWAH JCORP:

KULIM MALAYSIA BHD,

KPJ HEALTHCARE BHD,

DAMANSARA REALTY BHD,

KFC HOLDINGS MALAYSIA BHD,

QSR BRANDS BHD, DAN

KPJ AL AQAR REIT BHD.

Seperti sedia maklum, JCorp telah memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah Kulim Malaysia Bhd dan KPJ Healthcare Bhd pada 12 Januari dengan tujuan menyingkir saya daripada jawatan Pengerusi syarikat dan melantik Tuan Haji Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden/CEO JCorp bagi mengganti saya.


Langkah ini adalah langkah awal dan tindakan persediaan JCorp sebelum Mesyuarat Agong Luar Biasa yang akan bermula dengan Kulim Malaysia Bhd pada 17 Januari, 2011, disusuli oleh Damansara Realty Bhd pada 21 Januari, dan KPJ Healthcare Bhd pada 26 Januari, 2011. Tujuan saya diketepikan daripada jawatan Pengerusi ialah untuk memudahkan proses mendapat persetujuan ahli atau pemegang saham syarikat di Mesyuarat Agong.

Saya pasti ramai di kalangan pemegang saham minoriiti khasnya akan tertanya-tanya sebab-musabab penyingkiran ini perlu dilakukan yang jelas sekali bukan atas sebab prestasi rendah syarikat, salah laku, ketidak-cekapan atau penyelewengan oleh Pengarah dan Pengerusi terbabit. Soalan yang dibangkitkan oleh CEO MSWG satu ketika dulu sebenarnya masih lagi menantikan jawapan!

Menerusi Kenyataan Media ini saya mengesahkan bahawa saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya selaku Pengarah dan Pengerusi ke tiga-tiga syarikat terbabit, berkuatkuasa 12 Januari, 2011.

Selain itu, saya juga telah menghantar surat peletakan jawatan selaku Pengarah dan Pengerusi QSR Brands Bhd, KFC Holdings Malaysia Bhd, dan KPJ Al Aqar REIT Bhd, ketiga-tiganya juga merupakan syarikat PLC dalam Kumpulan JCorp. Ini saya lakukan kerana saya boleh menjangka bahawa langkah menyingkir saya daripada 3 lagi syarikat ini akan JCorp ambil setelah berjaya menyingkir saya selaku Pengerusi Kulim dan KPJ Healthcare khasnya.

Yang lebih penting, pertimbangan utama dalam mengambil tindakan ini ialah kerana sesungguhnya saya berpendapat bahawa saya telah mencapai semua matlamat utama yang saya tetapkan ketika meletak jawatan selaku Presiden/CEO JCorp secara serta-merta pada 29 Julai, 2011.

Antara matlamat yang saya gariskan ketika itu (yang telah saya masukkan ke dalam cadangan dan perakuan bertulis saya kepada Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah JCorp sebelum saya meletakkan jawatan), ialah:-

  1. Mengelakkan JCorp daripada melantik eksekutif luar selaku Presiden/CEO mengganti saya. Ketika itu khabar angin kencang menyatakan minat pihak yang berkuasa ke atas JCorp menuju ke arah itu. Ini membimbangkan saya kerana JCorp adalah sebuah organisasi korporat yang sangat kompleks, dan saya berpandangan yang paling sesuai dan layak ialah penggantian dalaman, khasnya dari kalangan Pengurusan Atasan yang telah bersama membina JCorp selama ini.

Alhamdulillah, pelantikan CEO daripada luar tidak lagi menjadi isu di JCorp;

  1. Kini, Tuan Haji Kamaruzaman Abu Kassim, telah pun disahkan dalam jawatan selaku Presiden/CEO JCorp, dan saya mengalu-alukan pelantikan beliau.

Saya manyambut baik perkembangan ini kerana Tuan Haji Kamaruzzaman adalah salah seorang daripada 5 orang Pengurusan Atasan JCorp yang saya perakukan;

  1. Mengelakkan JCorp daripada dipaksa menjual aset atau bisnes strategiknya atas alasan menyelesaikan beban hutang berjumlah RM3.6 bilion yang wajib dibayar balik pada pertengahan 2012.

Sebelum saya meletakkan jawatan lagi telah terdapat spekulasi mengenai ‘rancangan’ penjualan QSR Brands Bhd (pemilik KFC) kepada pihak berminat. Spekulasi ini menjadi kenyataan apabila kemudiannya Kulim (pemilik majoriti saham QSR Brands Bhd) mendapat bida daripada dua kumpulan yang berminat, iaitu daripada Tan Sri Halim Saad dan Carlyle Group.

Alhamdulillah, bida ini telah ditolak dengan tegansnya oleh Lembaga Pengarah Kulim sewaktu saya Pengerusinya, dengan persetujuan rasmi JCorp. Mudah-mudahan amanah yang saya pegang dan tanggungjawab fidusiari saya selaku Pengarah PLC telah saya sempurnakan. Justeru, setelah QSR Brands selamat daripada jualan paksa, satu lagi matlamat saya memperjuangkan kepentingan jangka panjang JCorp telah tercapai;

  1. Matlamat saya seterusnya ialah menentukan masyarakat Melayu khasnya dan sektor korporat Malaysia amnya dimaklumkan sepenuhnya mengenai apa yang sedang berlaku di JCorp, terutama mengenai isu berkaitan kepentingan syarikat PLC strategik milik JCorp.

Sebabnya, saya yakin cadangan menjual QSR Brands (dan menerusi QSR melibatkan penjualan KFC Holdings Malaysia Bhd), serta menswastakannya, sekalipun merupakan hak JCorp sebagai pemegang saham utama memutuskannya, perlu melibatkan pandangan rakyat Melayu, terutama kerana terdapat juga kepentingan besar bangsa Melayu, termasuk kepentingan ekonomi generasi masa depan. Pandangan rakyat dan kepentingan besar mereka wajib didahulukan!

Alhamdulillah, dengan bangkitnya kesedaran masyarakat terhadap isu ini sehingga mendapat perhatian NGO-NGO serta individu profesional, akademik dan korporat di seluruh negara, semakin ramai yang berpendapat kepentingan besar rakyat mahukan syarikat PLC strategik milik GLC dikekalkan dan tidak ‘difaraidkan’.

  1. Pada akhirnya, pertimbangan yang juga saya utamakan dalam meletak jawatan Pengarah dan Pengerusi syarikat terbabit ialah menentukan apa pun tindakan yang saya ambil tidak seharusnya menjejas kewibawaan dan nama baik JCorp. Demikian juga, ia tidak harus merosakkan kebulatan pasukan pengurusan dan seluruh warga JCorp. Yang paling tidak saya ingini ialah melihat JCorp musnah atau dirobak-rabikkan, atau langsung lemah dan lesu oleh konflik dalaman dan ketidaksefahaman.

Lebih penting lagi, yang berkaitan langsung dengan Mesyuarat Lembaga Pengarah dan EGM, sekiranya diteruskan dengan saya menjadi isu utama, ia boleh merosakkan. Saya juga tidak rela dan tidak mahu menyaksikan situasi di mana beberapa rakan seperjuangan saya dulu di JCorp terpaksa mengambil keputusan yang akan mengakibatkan hapusnya tali silaturrahim dan ukhkhuwah antara saya dengan mereka.

Sebagaimana yang kerap saya tegaskan, saya tidak penting dan tidak harus lagi dijadikan isu. Yang penting ialah perjuangan JCorp yang selama ini berlandaskan aspirasi murni Jihad bisnes dapat diteruskan untuk membina bangsa dan negara serta membela agama.

Justeru, setelah memikirkan sedalam-dalamnya, dan dengan niat melindungi kepentingan jangka panjang yang lebih besar bagi bangsa Melayu dan umat Islam, saya mengambil keputusan mengundur diri daripada jawatan tersebut.

Selaku Presiden dan CEO JCorp, demikian juga selaku Pengerusi dan Pengarah syarikat PLC milik JCorp saya telah menerima amanah untuk memberi yang terbaik bagi manfaat bangsa, agama dan negara. Telah tiba masanya saya serah kembali amanah tersebut kepada bangsa Melayu khasnya dan warga Malaysia amnya untuk menentukan supaya amanah ini disempurnakan pula oleh mereka yang mengganti saya memikul tanggungjawab ini selanjutnya.

Saya doakan semoga semua ini akan dapat sempurnakan oleh warga JCorp di bawah kepimpinan Tuan Haji Kamaruzzaman Abu Kassim dan rakan-rakan CEO yang lain di peringkat PLC.

Muhammad Ali Hashim

Kuala Lumpur,

e-mel: ali.bizjihad@yahoo.com

Blog: www.businessjihad.com

12 Januari, 2011.


from: www.businessjihad.com



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger