Sunday, November 6, 2011

Beraya Di Perantauan...

Pepatah melayu ada meyebut,"Jauh berjalan,luas pandangan". Rasanya kena dengan keadaan saya ketika ini. Betul, semakin jauh kita mengembara, semakin luas pandangan kita terhadap Bumi Allah dan ciptaan-Nya. Semakin banyak yang dapat kita pelajari daripada situasi/keadaan yang terbiasa di tempat asal kita.

Di sini, saya cuma hendak berkongsi sedikit sambutan Hari Raya Aidiladha di Chiangmai, Thailand. Di sini, kami selalu mengunjungi kawasan Islam di sekitar kawasan Masjid Hidayatul. Berdekatan dengan Kalare Night Bazaar. Masjid ini lebih berbentuk kompleks islam di mana ada tempat solat, kelas, asrama dan kawasan makan.

Di sini, sambutan Hari Raya Aidiladha lebih kurang sama dengan di Malaysia. Berkumpul di masjid di pagi hari raya, bertakbir, solat sunat hari raya, khutbah raya, melaksanakan sembelihan korban. Ada daging yang di agihkan dan ada yang di masak dan makan bersama-sama. Kecuali beberapa perkara.

1. Sebelum solat sunat raya:

#Mereka berkumpul di luar dan bertakbir di ketuai Imam masjid. Bertakbir kemudian berjalan beberapa langkah. Kemudian, bertakbir semula, dan berjalan beberapa langkah lagi. Sehinggalah sampai ke pintu ruang solat masjid tersebut.

# Sebaik sahaja masuk ke ruang solat, mereka duduk membentuk bulatan dan membaca al-quran. Mereka mengkhatam Al-quran beramai-ramai dengan cara setiap orang membaca sebahagian surah.

2. Semasa solat sunat hari raya:

# Sebelum solat sunat ajk masjid ada menerangkan cara solat sunat aidiladha. Dan memandangkan bukan di Malaysia, ada kemungkinan berbeza seperti lazimnya yang diamalkan. Masalahnya, ia diterangkan dalam bahasa Thailand dan tak silap kantonis. Maka, saya langsung tidak faham. Tidak mengapa, bak kata kawan saya, "kite ikut imam jela". Rupa-rupanya memang betul pun lain. Rakaat pertama, takbir 3 kali sahaja. Rakaat kedua, lepas baca Surah Al-Fatihah dan satu surah lagi baru lah takbir 3 kali kemudian rukuk. Hehehe... kat sini la yang kantoi. Hampir hendak rukuk bila imam ucap takbir yang pertama. Ish...ish..ish.. nasib baik leh cover lagi. Hehehe.. Dan rupanya ramai juga yang terrukuk, atau hampir rukuk termasuklah kawan-kawan saya. Tergelak jek kami dengar cerita masing-masing.

Itulah boleh buat ikhtibar iaitu penguasaan bahasa memang sangat penting terutama jika ingin mengembara ke negara lain.

Dan selepas solat sunat hari raya, ada khutbah raya dan tentulah tidak faham sebab dalam bahasa Thai. Selepas itu, bersalam-salam sesama jemaah.



Itulah sedikit sebanyak pengalaman menyambut Hari Raya Aidiladha di negara orang. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan;

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
KEPADA SEMUA MUSLIMIN & MUSLIMAT














Monday, October 24, 2011

Ilmu dan Kefahaman Sama Penting

"Dan di antara manusia ada yang berbantahan tentang Allah tanpa ilmu dan hanya mengikuti para syaitan yang sangat jahat", Ayat Al-Hajj (22:3).

"Dan di antara manusia ada yang berbantahan tentang Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk, dan tanpa kitab(wahyu), yang memberi penerangan", Ayat Al-Hajj (22:8).

Dua ayat dari Al-Quran ini jelas menceritakan tentang manusia yang berdebat tentang agama tanpa ilmu pengetahuan. Dan perdebatan tanpa ilmu hanya akan menyesatkan manusia itu sendiri.

Ilmu di dalam Islam adalah sangat penting. Kepentingan ilmu itu sendiri di gambarkan dengan ayat Al-Quran pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, Surah Al-'Alaq (96:1-5). Ilmu itu penting dalam mengenali Allah dan Islam. Satu pertanyaan yang ingi saya utarakan, Sejauh mana anda seorang beragama Islam faham tentang Islam? "Tepuk dada tanyalah iman",bak kata kawan saya.

Pertanyaan saya bukan tentang anda tahu rukun islam ada berapa, rukun iman ada berapa, tapi sejauh mana anda faham tentang perkara-perkara berkaitan Islam itu sendiri. Tidak perlu pergi jauh. Cuba asasnya dahulu. Apakah yang anda faham dengan Rukun Islam dan Rukun Iman?

Hmm.. rukun Islam ada lima; Mengucap 2 kalimah syahadah, Solat lima waktu, Berpuasa, Berzakat dan menunaikan haji bagi yang mampu. Betul... 100%. Hmmm.... rukun Iman ada enam; Beriman pada Allah, Beriman pada malaikat, Beriman pada para rasul, Beriman pada kitab, Beriman pada Qada' dan Qadar dan Beriman pada Hari Akhirat. Betul... 100%. Tetapi, adakah dengan hanya mengetahui perkara-perkara itu sudah cukup untuk menepis segala dugaan dan anasir asing yang cuba mengugat keimanan kita?

Ilmu dan kefahaman tentang ilmu itu benar-benar sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang Islam. Benar. SANGAT PENTING. Kenapa? Sebab dengan kefahaman ilmu yang mendalamlah kita akan dapat membezakan mana yang benar dan mana yang batil. Dan dengan kefahaman ilmu yang mendalamlah kita dapat mempertahankan Islam.

Saya mencari beberapa perkara berkaitan murtad beberapa hari ini dan saya terbaca beberapa artikel berkaitan orang islam yang murtad dan sebab kenapa mereka murtad. Rumusannya, kesemua yang murtad itu memang tahu tetapi tidak faham tentang Islam. Malahan jika dilihat ada yang berilmu agama tinggi yang terlibat dengan ajaran sesat, melakukan perkara terkutuk dan murtad. Malahan tanpa ilmu dan kefahaman yang mendalam juga akan menyukarkan kita untuk mempertahankan Islam dari segala fitnah. Maaf, jika ada yang menyangkal pernyataan ini. Anda boleh 'google' sendiri jika anda mahu buktinya.

Pada pendapat saya, kefahaman dan ilmu mendalam dalam Islam adalah wajib bagi setiap seorang Muslim. Bukan sekadar tahu tetapi faham. Dan saya mencadangkan agar kite bermula dengan membaca ayat Al-Quran bersama terjemahannya. Agar kita dapat mengambil ikhtibar dan manfaat dari ayat-ayat tersebut. Dan bukan hanya sekadar membacanya. Dan berusaha mencari ilmu-ilmu agama melalui guru-guru dan majlis-majlis ilmu. Kerana dalam sejarah kegemilangn islam para ilmuan Islam bermula dengan ilmu Al-Quran dan Hadis.

"Dan Kami tidak mengutuskan sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang lelaki-lelaki yang kami yang kami berikan wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui", Surah An-Nahl (16:43).

~Sekadar hendak berkongsi satu artikel tentang berpindah mazhab kerana ada kesulitan (masyaqqah).Ini linknya: Link 1. Semoga ia dapat membantu kawan-kawan saya memahami tentang perkara ini dan bukannya berdebat tentang suatu yang sudah disepakati oleh para ulama' terdahulu.

Human Rights: Adakah satu nilai tertinggi dalam kehidupan manusia?

Human Rights ataupun hak asasi manusia sering diperkatakan sama ada dalam bentuk pandangan seseorang, suatu pihak, organisasi malahan dalam bentuk kesatuan. Ia sering diperkatakan berkaitan hak seseorang manusia dalam sesuatu perkara. Definisi hak asasi manusia menurut pandangan antarabangsa:

"Human rights are rights inherent to all human beings, whatever our nationality, place of residence, sex, national or ethnic origin, colour, religion, language, or any other status. We are all equally entitled to our human rights without discrimination. These rights are all interrelated, interdependent and indivisible.

Universal human rights are often expressed and guaranteed by law, in the forms of treaties, customary international law , general principles and other sources of international law. International human rights law lays down obligations of Governments to act in certain ways or to refrain from certain acts, in order to promote and protect human rights and fundamental freedoms of individuals or groups.," United Nations Human Rights.

Berdasarkan pemahaman saya dari definasi ini ialah setiap manusia mempunyai hak asasi dan hak-hak asasi ini didefinasikan dan dilindungi oleh undang-undang.
Saya tidak menyangkal hak asasi manusia. Dan saya tidak menyangkal undang-undang yang telah dirangka bagi mempertahankan hak ini. Cuma yang ingin saya utarakan ialah apakah had sempadan hak asasi manusia ini. Dan sejauh mana ia selari dengan hak-hak yang lain.

Jujur, kemampuan saya dalam menterjemahkan dan membincangkan perkara ini sangat-sangat terhad. Jadi saya akan kongsikan beberapa artikel yang membincangkan tentang perkara ini. Artikel ini membincangkan dari sudut pandangan seorang beragama Islam. Saya cuma mahu anda fikirkan sama ada hak kebebasan asasi itu adalah nilai yang paling tinggi yang perlu diambil berat/dipertimbangankan dalam suatu perkara ATAU Al-Quran dan Hadis yang menjadi rujukan kita sebagai seorang beragama Islam.


Di sini saya kongsikan berita yang menyebabkan saya terfikir perkara ini. Groups: Don't interfere with a person's freedom to choose their attire. Pada saya memang betul, kite tidak patut menyibuk dalam urusan seseorang untuk berpakaian. Terpulang kepada mereka untuk berpakaian apa sekali pun. Itu HAK mereka. Tetapi perlu diingat bahawa selain HAK individu, ada lain yang turut mempunyai hak. Iaitu HAK seorang Islam mengajak saudara seIslamnnya untuk mengamalkan ajaran Islam.

Hanya Allah yang lebih mengetahui.


Monday, October 10, 2011

Talk without investigate, Say without think

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dah lama saya tak menulis dalam blog ini. Banyak yang saya terfikir nak tulis, cuma kekadang tangan jek malas nak menulis. Tengahari 2 hari lepas saya ada membaca suratkhabar The Star dan tertarik dengan tajuk berikut: DUMC issue: S'gor Sultan rules no action against parties involved.

Rasa-rasanye mesti korang masih ingat isu pasal JAIS datang menyerbu DUMC dalam bulan 9 gitu la. Gempar satu Malaysia kan? Semua tertanya kenapa JAIS datang menyerbu sebuah gereja. Pelbagai pihak menyuarakan pandangan dan pendapat. Ahli-ahli politik ada yang lantang pertikaikan. Timbul pula isu2 murtad dan pelbagai lagi. Ini antara kenyataan-kenyataan mereka: MB demands Jais explanation on raid dan Muhibbah dinner held in church disrupted. Dua link ini sekurang-kurangnya boleh refresh sedikit isu tersebut. Ada banyak lagi, korang leh google saja isu itu.

Saya bukan nak pertikaikan atau nak komen-komen ape yang diorang komen. Cuma apa yang ingin diperkatakan ialah sikap seseorang yang membuat kenyataan tanpa mengetahui hujung pangkal isu tersebut. Terus membuat kenyataan tanpa menyelidik perkara tersebut. Jika korang membaca kenyataan media Sultan Selangor dalam link kat atas tu mesti korang faham maksud aku kan. Bahawa sesungguhnya, kenyataan yang dikeluarkan segolongan pihak tertentu lebih berbentuk tuduhan dan menggunakan pertimbangan yang tidak wajar. Dan di dalam isu ini, JAIS menjadi mangsa pertimbangan tidak wajar pihak tertentu. Terbukti dalam isu ini, hasil laporan dan siasatan bahawa JAIS hanyalah menjalankan tugasan mereka dan terdapat bukti yang wajar untuk mereka bertindak sedemikian.

"Wahai orang-orang yang beriman!Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita,maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan(kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.", Surah Al-Hujurat ayat 6 (49:6).

Cuba korang teliti ayat yang saya berikan ini. Dalam Al-Quran telah dinyatakan agar kita perlu menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita sebelum membuat keputusan atau kenyataan. Agar kita tidak tersalah dan tidak menyesal dengan perbuatan/percakapan kita. Semoga isu ini boleh menjadi contoh dalam menjalani kehidupan kita seharian. InsyaAllah.

Sunday, September 4, 2011

Buta Sejarah...

Hmm..ramai dikalangan manusia kini mengatakan bahawa sesungguhnya SEJARAH itu tidak penting. Yang penting sekarang adalah kini dan masa depan. Bertitik tolak dari pendirian ini, maka subjek sejarah semakin dipandang dingin oleh kebanyakan pelajar-pelajar sama ada di peringkat sekolah ataupun di peringkat institusi pendidikan tinggi. Katanya, belajar sejarah adalah membosankan dan tidak membantu membangunkan negara. Subjek sains dan teknologilah yang penting pada masa kini.

Walhal,tanpa masa lampau, maka tiada kini dan masa depan. Ini merupakan suatu hakikat yang nyata. Tanpa hari semalam, mustahil akan ada hari ini. Dan tanpa hari ini,mustahil akan ada hari esok.

Disebabkan pandangan-pandangan sebegini, semakin ramai generasi zaman ini yang mula melupai sejarah. Sejarah diri, keluarga, negara malahan dalam konteks lebih besar agama. Terlupa atau mungkin tidak mengetahui betapa gerunnya Empayar Rom dan Empayar Parsi dengan kekuatan Empayar Islam di zaman Khulafa Rasyidin sehingga mampu mengalahkan tentera rom dan parsi yang hebat ketika itu. Zaman Renaissance di Eropah bermula daripada kehebatan dan kegemilangan Kerajan Islam Andalusia,Sepanyol. Malahan, Kerajaan Kesultanan Melayu memiliki pelabuhan yang menjadi tumpuan dunia kerana menghubungkan perdagangan timur dan barat. Malah, BAHASA MELAYU ADALAH BAHASA LINGUA FRANCA di pelabuhan melaka ketika itu. Ini semua hanya akan kita ketahui JIKA dan HANYA JIKA kita belajar sejarah.

Dan disebabkan inilah maka munculnya generasi yang BUTA SEJARAH. Dalam erti kata lain, tidak mengetahui sejarah sesuatu perkara. Dan dalam konteks situsi di negara ini ialah buta sejarah negara yang dinamakan Malaysia. Dan ini adalah contoh terbaru:

Berita Harian Online | Kurang penyelidikan punca buta sejarah Malaysia

"History is a guide to navigation in perilous times. History is who we are and why we are the way we are",David C. McCullough.

""You have to know the past to understand the present"",Dr. Carl Sagan.

Dan kata saya pula, sejarah adalah perkara perlu diketahui, dikenalpasti kebenaran faktanya kerana ia merupakan guru kehidupan manusia.

Tuesday, August 30, 2011

SELAMAT HARI RAYA & HARI KEMERDEKAAN Ke 54

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sahabat2 dan semua. Di pagi hari raya ini saya mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua. Maaf dari zahir dan batin. Maafkan jika terkasar bahasa dan tingkah laku semasa berkenalan. Ini pantun dari saya:

"Anak kecil beraya sakan,
Beraya dengan rakan taulan,
Selamat hari raya ku ucapkan,
Maaf zahir & batin"

"Beraya riang sukahati,
Sambil berziarah sana sini,
Semoga Allah merahmati,
Sambutan kita di tahun ini"

"Mercun berdentum gamit suasana,
Tanda hari raya akan menjelma,
Saling bermaafan kita bersama,
Tanda hidup satu rukun seagama"

"Kain songket dan tenun jadi pilihan,
Buat baju raya hingga hari ke enam,
Sambil kita beraya sakan,
Jagan dilupa puasa enam"


Hehe.. Saja mengubah pantun di pagi hari raya. Untuk tatapan sahabat-sahabat saya semua.

Di samping itu juga,saya nak ucapkan selamat kemerdekaan ke 54 kepada Malaysia dan warganegara Malaysia. Diharapkan semoga kita sebagai warganegara Malaysia bersyukur dengan apa yang ada dan apa yang dicapai oleh negara ini. Dan janganlah melampau untuk meminta sesuatu dan dalam menyuarakan kehendak dan pendapat. Sesungguhnya,tiada apa yang baik akan kita dapati dengan cara yang melampau. Kita telah dikurniakan oleh Allah akal fikiran dan kebijaksanaan. Gunakan lah ia untuk menilai dengan bijak situasi yang berlaku di negara-negara Asia Tengah,Afrika dan England. Bagi saya ia ibarat perpatah orang lama, "Yang menang jadi arang,yang kalah jadi abu". Semua pihak yang rugi,negara hancur, yang UNTUNG?

O.R.AN.G L.U.A.R....

Pinjam kata-kata seorang ustaz di Hot.fm, " Fikir-fikirlah dan selamat beramal".




Tuesday, May 24, 2011

Who is your idol?

Rasa-rasanya hampir kebanyakan daripada kita pernah diajukan dengan pertanyaan ini. Sama ada sewaktu sekolah, di universiti, di alam perkejaan malah sesekali ditanya oleh si kecil cilik kita. Agak-agak ingat tak apa jawapan kita? Hmm...

Cuba kita bertanya kepada diri sendiri. Siapa idola hidup kita? Kita akan dapat pelbagai nama-nama tokoh yang hebat dan terkenal. Dari bidang akademik, politik, sains, kemasyarakatan dan pelbagai lagi. Dan saya pasti jika pada zaman saya sekolah rendah, nama yang paling terkenal ialah Bapa Permodenan Negara, mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tentu semua tidak nafikan keupayaan dan kecerdikannya dalam memajukan Malaysia sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah apakah jawapan yang akan diberikan oleh anak-anak muda kita sekarang? Saya pasti nama yang disebutkan ialah artis-artis terkenal seperti Justin Bieber, Lady Gaga atau Micheal Jackson. Ataupun bintang-bintang ternama bola sepak seperti Cristian Ronaldo, Lionel Messi, Wayne Rooney kalau tak pun David Beckham. Dan mungkin juga artis-artis AF, Mentor dan sebagainya.

Pernah dengar buku bertajuk The 100, a Ranking of the Most Influential Persons in History, Michael H. Hart? Sebuah buku yang menceritakan tentang kajiannya tentang kekuatan pengaruh tokoh-tokoh dan dia meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh No.1 yang paling berpengaruh dalam sejarah mengatasi Tokoh Dunia Fizik, Isaac Newton dan Albert Einstain. Bayangkan jika seorang manusia bukan Islam mengatakan Rasulullah seorang tokoh yang hebat dan paling berpengaruh, mengapa kita sebagai seorang Islam tidak menjadikan baginda idola hidup kita? Mengapa kita menyampingkan baginda dan memilih tokoh-tokoh yang lain sebagai idola kita? Dan mengapa kebanyakan anak-anak muda kita, sebagai pelapis pemimpin agama, bangsa dan negara memilih tokoh-tokoh dan artis lain sebagai idola berbanding baginda?

Itulah yang berlaku di sekeliling kita. Apabila yang tidak sepatutnya menjadi idola hidup, maka banyak isu sosial dan masalah kemasyarakatan yang timbul. Bukan saya mengatakan semua masalah berpunca dari idola hidup kita. Tetapi menjadi fitrah manusia bertindak mengikut contoh tindakan orang lain/berpengaruh terhadap mereka. Contoh mudah, jika bapanya merokok, tidak mustahil anaknya akan merokok. Jika ibunya tidak bertudung, tidak mustahil anak gadisnya tidak bertudung. Dan jika tokoh artisnya berpakaian sendat dan seksi, tidak mustahil pengikutnya akan turut berpakaian itu. Memang itulah fitrah manusia.

Bukan sudah diberitahu oleh Rasullulah SAW, "Berpeganglah pada AL-quran dan ikutlah sunnah ku, kamu pasti akan tidak terpesong". Jika Rasulullah SAW menjadi idola hidup kita, sudah pasti kita akan menjadi seorang insan yang berperibadi yang mulia. Dan bukannya artis atau tokoh atau orang lain yang layak menjadi idola kita.

Tetapi,saya tidak menyatakan mengambil tokoh idola lain adalah salah cuma Nabi Muhammad SAW adalah idola terbaik untuk kita.

Cubalah hayati lagu ini:

Sunday, May 22, 2011

Do you check your heart (HATI) regularly?

Baru-baru ini, timbul minat mendalam terhadap pembacaan majalah yang lebih berat dan mendalam topiknya. Antaranya Al-Islam,PC, dan terbaru Solusi. Dan saya akui, saya dah mula jatuh hati dengan majalah Solusi ini. Saya kagum dengan cara penceritaan dan kupasan isu bagi setiap keluaran. Topik bagi keluaran pertama yang saya beli adalah Sabar Itu Indah. Hmm..banyak yang ilmu yang saya dapati dari majalah seperti ini.

Dalam pembacaan berkaitan isu sabar ini, saya dapat simpulakan semuanya berkaitan dengan hati seseorang itu. Makin sihat hati tersebut, makin kuat sabar seseorang itu. Bukan sabar sahaja malah semua perbuatan, tindak tanduk, percakapan dan pemikiran akan menjadi indah dan mulia jika hati kita sihat. Hmm..persoalannya apakah alat atau kaedah untuk pastikan hati kita sentiasa sihat.

Menurut Ibnu Qayyim, ada enam faktor yang menyebabkan hati kita sakit. Akibat dari gaya pergaulan yang tidak bermanfaat (perbuatan sia-sia), angan-angan yang berpanjangan, bergantung pada selain Allah, perut yang kenyang dan banyak tidur.

Kesihatan hati sama sahaja dengan kesihatan fizikal kita. Jika kita perlu bersenam, mengambil vitamin dan jaga pemakanan untuk pastikan badan kita sihat. Maka, hati juga memerlukan pemakanan dan senaman bagi pastikan ia sentiasa sihat. Antara makanan dan senaman bagi hati bagi seorang Islam ialah zikir, istigfar dan selalu mengenangkan anugerah Allah kepada kita dan bersyukur. InsyaAllah, hati kita akan sentiasa sihat.


Adapted from Youtube

Saturday, January 15, 2011

Tan Sri Muhammad Ali Hashim: Kenyataan Media Berkaitan Perletakan Jawatan Dalam 6 Syarikat PLC

KENYATAAN MEDIA,

Kuala Lumpur, 12 Januari, 2011

PELETAKAN JAWATAN TAN SRI MUHAMMAD ALI HASHIM SELAKU PENGARAH DAN PENGERUSI,

DI 6 BUAH SYARIKAT PLC DI BAWAH JCORP:

KULIM MALAYSIA BHD,

KPJ HEALTHCARE BHD,

DAMANSARA REALTY BHD,

KFC HOLDINGS MALAYSIA BHD,

QSR BRANDS BHD, DAN

KPJ AL AQAR REIT BHD.

Seperti sedia maklum, JCorp telah memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah Kulim Malaysia Bhd dan KPJ Healthcare Bhd pada 12 Januari dengan tujuan menyingkir saya daripada jawatan Pengerusi syarikat dan melantik Tuan Haji Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden/CEO JCorp bagi mengganti saya.


Langkah ini adalah langkah awal dan tindakan persediaan JCorp sebelum Mesyuarat Agong Luar Biasa yang akan bermula dengan Kulim Malaysia Bhd pada 17 Januari, 2011, disusuli oleh Damansara Realty Bhd pada 21 Januari, dan KPJ Healthcare Bhd pada 26 Januari, 2011. Tujuan saya diketepikan daripada jawatan Pengerusi ialah untuk memudahkan proses mendapat persetujuan ahli atau pemegang saham syarikat di Mesyuarat Agong.

Saya pasti ramai di kalangan pemegang saham minoriiti khasnya akan tertanya-tanya sebab-musabab penyingkiran ini perlu dilakukan yang jelas sekali bukan atas sebab prestasi rendah syarikat, salah laku, ketidak-cekapan atau penyelewengan oleh Pengarah dan Pengerusi terbabit. Soalan yang dibangkitkan oleh CEO MSWG satu ketika dulu sebenarnya masih lagi menantikan jawapan!

Menerusi Kenyataan Media ini saya mengesahkan bahawa saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya selaku Pengarah dan Pengerusi ke tiga-tiga syarikat terbabit, berkuatkuasa 12 Januari, 2011.

Selain itu, saya juga telah menghantar surat peletakan jawatan selaku Pengarah dan Pengerusi QSR Brands Bhd, KFC Holdings Malaysia Bhd, dan KPJ Al Aqar REIT Bhd, ketiga-tiganya juga merupakan syarikat PLC dalam Kumpulan JCorp. Ini saya lakukan kerana saya boleh menjangka bahawa langkah menyingkir saya daripada 3 lagi syarikat ini akan JCorp ambil setelah berjaya menyingkir saya selaku Pengerusi Kulim dan KPJ Healthcare khasnya.

Yang lebih penting, pertimbangan utama dalam mengambil tindakan ini ialah kerana sesungguhnya saya berpendapat bahawa saya telah mencapai semua matlamat utama yang saya tetapkan ketika meletak jawatan selaku Presiden/CEO JCorp secara serta-merta pada 29 Julai, 2011.

Antara matlamat yang saya gariskan ketika itu (yang telah saya masukkan ke dalam cadangan dan perakuan bertulis saya kepada Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah JCorp sebelum saya meletakkan jawatan), ialah:-

  1. Mengelakkan JCorp daripada melantik eksekutif luar selaku Presiden/CEO mengganti saya. Ketika itu khabar angin kencang menyatakan minat pihak yang berkuasa ke atas JCorp menuju ke arah itu. Ini membimbangkan saya kerana JCorp adalah sebuah organisasi korporat yang sangat kompleks, dan saya berpandangan yang paling sesuai dan layak ialah penggantian dalaman, khasnya dari kalangan Pengurusan Atasan yang telah bersama membina JCorp selama ini.

Alhamdulillah, pelantikan CEO daripada luar tidak lagi menjadi isu di JCorp;

  1. Kini, Tuan Haji Kamaruzaman Abu Kassim, telah pun disahkan dalam jawatan selaku Presiden/CEO JCorp, dan saya mengalu-alukan pelantikan beliau.

Saya manyambut baik perkembangan ini kerana Tuan Haji Kamaruzzaman adalah salah seorang daripada 5 orang Pengurusan Atasan JCorp yang saya perakukan;

  1. Mengelakkan JCorp daripada dipaksa menjual aset atau bisnes strategiknya atas alasan menyelesaikan beban hutang berjumlah RM3.6 bilion yang wajib dibayar balik pada pertengahan 2012.

Sebelum saya meletakkan jawatan lagi telah terdapat spekulasi mengenai ‘rancangan’ penjualan QSR Brands Bhd (pemilik KFC) kepada pihak berminat. Spekulasi ini menjadi kenyataan apabila kemudiannya Kulim (pemilik majoriti saham QSR Brands Bhd) mendapat bida daripada dua kumpulan yang berminat, iaitu daripada Tan Sri Halim Saad dan Carlyle Group.

Alhamdulillah, bida ini telah ditolak dengan tegansnya oleh Lembaga Pengarah Kulim sewaktu saya Pengerusinya, dengan persetujuan rasmi JCorp. Mudah-mudahan amanah yang saya pegang dan tanggungjawab fidusiari saya selaku Pengarah PLC telah saya sempurnakan. Justeru, setelah QSR Brands selamat daripada jualan paksa, satu lagi matlamat saya memperjuangkan kepentingan jangka panjang JCorp telah tercapai;

  1. Matlamat saya seterusnya ialah menentukan masyarakat Melayu khasnya dan sektor korporat Malaysia amnya dimaklumkan sepenuhnya mengenai apa yang sedang berlaku di JCorp, terutama mengenai isu berkaitan kepentingan syarikat PLC strategik milik JCorp.

Sebabnya, saya yakin cadangan menjual QSR Brands (dan menerusi QSR melibatkan penjualan KFC Holdings Malaysia Bhd), serta menswastakannya, sekalipun merupakan hak JCorp sebagai pemegang saham utama memutuskannya, perlu melibatkan pandangan rakyat Melayu, terutama kerana terdapat juga kepentingan besar bangsa Melayu, termasuk kepentingan ekonomi generasi masa depan. Pandangan rakyat dan kepentingan besar mereka wajib didahulukan!

Alhamdulillah, dengan bangkitnya kesedaran masyarakat terhadap isu ini sehingga mendapat perhatian NGO-NGO serta individu profesional, akademik dan korporat di seluruh negara, semakin ramai yang berpendapat kepentingan besar rakyat mahukan syarikat PLC strategik milik GLC dikekalkan dan tidak ‘difaraidkan’.

  1. Pada akhirnya, pertimbangan yang juga saya utamakan dalam meletak jawatan Pengarah dan Pengerusi syarikat terbabit ialah menentukan apa pun tindakan yang saya ambil tidak seharusnya menjejas kewibawaan dan nama baik JCorp. Demikian juga, ia tidak harus merosakkan kebulatan pasukan pengurusan dan seluruh warga JCorp. Yang paling tidak saya ingini ialah melihat JCorp musnah atau dirobak-rabikkan, atau langsung lemah dan lesu oleh konflik dalaman dan ketidaksefahaman.

Lebih penting lagi, yang berkaitan langsung dengan Mesyuarat Lembaga Pengarah dan EGM, sekiranya diteruskan dengan saya menjadi isu utama, ia boleh merosakkan. Saya juga tidak rela dan tidak mahu menyaksikan situasi di mana beberapa rakan seperjuangan saya dulu di JCorp terpaksa mengambil keputusan yang akan mengakibatkan hapusnya tali silaturrahim dan ukhkhuwah antara saya dengan mereka.

Sebagaimana yang kerap saya tegaskan, saya tidak penting dan tidak harus lagi dijadikan isu. Yang penting ialah perjuangan JCorp yang selama ini berlandaskan aspirasi murni Jihad bisnes dapat diteruskan untuk membina bangsa dan negara serta membela agama.

Justeru, setelah memikirkan sedalam-dalamnya, dan dengan niat melindungi kepentingan jangka panjang yang lebih besar bagi bangsa Melayu dan umat Islam, saya mengambil keputusan mengundur diri daripada jawatan tersebut.

Selaku Presiden dan CEO JCorp, demikian juga selaku Pengerusi dan Pengarah syarikat PLC milik JCorp saya telah menerima amanah untuk memberi yang terbaik bagi manfaat bangsa, agama dan negara. Telah tiba masanya saya serah kembali amanah tersebut kepada bangsa Melayu khasnya dan warga Malaysia amnya untuk menentukan supaya amanah ini disempurnakan pula oleh mereka yang mengganti saya memikul tanggungjawab ini selanjutnya.

Saya doakan semoga semua ini akan dapat sempurnakan oleh warga JCorp di bawah kepimpinan Tuan Haji Kamaruzzaman Abu Kassim dan rakan-rakan CEO yang lain di peringkat PLC.

Muhammad Ali Hashim

Kuala Lumpur,

e-mel: ali.bizjihad@yahoo.com

Blog: www.businessjihad.com

12 Januari, 2011.


from: www.businessjihad.com



TAN SRI MUHAMMAD ALI HASHIM: Prakata Memperkasa ekonomi bangsa dan umat

(Prakata ini adalah pembuka kata kepada buku yang sedang saya susun, mengandungi rencana tulisan saya dalam siri ”Minda BISTARI” yang telah diterbitkan oleh Harian Metro pada 2009-2010. Buku ini akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat, insya Allah. Tajuk buku dan teks muktamad penulisan mungkin akan berubah, setelah dilakukan penambah-baikan dan diedit oleh penerbit).



Bangsa Melayu dan umat Islam kini dalam keadaan sangat tertekan. Rendahnya tahap pencapaian ekonomi tidak lagi mengizinkan kita mengulangi kaedah lama dan mengitar semula pendekatan serta dasar sebelum ini. Tindakan menggunakan kuasa politik, sekalipun tetap penting, jika diteruskan mengikut cara lama, tidak lagi memadai. Kita juga tidak lagi cuma boleh berharap kepada anjuran dasar dan program kerajaan untuk menemui jalan keluar.


Jelas, tanpa pembaharuan pendekatan dan strategi, kita bukan saja ketinggalan di takuk lama, bahkan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia pasti terus dipinggir, terketepi, lemah dan kekal bergantung hidup tanpa berdikari. Paling bahaya apabila kita kehilangan jatidiri dan identiti, justeru hanyut umpama buih-buih yang terapung tanpa arah dan tujuan mengikut kederasan arus dorongan kuasa dan pengaruh di luar kawalan kita.


Penulisan ini bertujuan membangkitkan kesedaran baru bangsa Melayu dan umat Islam ke arah memperkasa ekonomi menerusi pendekatan Jihad Bisnes secara berorganisasi dan menggunakan kaedah institusi Islam. Ia menganjurkan bisnes diperjuangkan sebagai satu jihad, secara kolektif dengan mengadaptasi secara kreatif institusi wakaf, menjadikannya Waqaf Korporat sebagai institusi barisan depan. Kaedah Waqaf Korporat ini menepati maksud Al Qur’an, Ayat 4, Surah As-Saf (61:4), ”Sesungguhnya Allah Ta’ala amat menyukai orang yang berjihad pada jalanNya, dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh.”


Bangsa Melayu dan umat Islam tidak akan berjaya membina semula kekuatan bangsa dan agama selagi kita tidak menjadi umat alyadul uliya – bangsa dan umat yang tangannya di atas atau the upper hand – yang menguasai harta kekayaan dan berjihad dengannya ke jalan Allah. Sesungguhnya, semua usaha Melayu memburu pembaharuan menerusi usaha menghimpun harta kekayaan tidak akan berjaya dalam erti kata sebenarnya tanpa berlandaskan Islam dan tanpa berpegang teguh kepada Tali Allah.


Pembaharuan menerusi kaedah Jihad Bisnes bukan satu retorik atau slogan kosong. Kaedahnya juga melibatkan dan mengangkat semua lapisan masyarakat dan umat – iaitu satu anjuran berciri ’dari bawah ke atas’ atau bottom-up dan tidak elitis. Jelas sekali pemegangan dan penggunaan kuasa di peringkat atasan dan elit semata-mata seperti amalan selama ini tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah pembangunan ekonomi dan politik Melayu.


Apa yang diperlukan ialah pendekatan memperkasa masyarakat terbanyak, dan kaedah terbaik ialah dengan memasyarakatkan dan menentukan teraju kuasa ekonomi diserah kepada tangan rakyat, atau rakyat diutamakan. Ini berupaya dilakukan menerusi institusi milik masyarakat seperti waqaf. Melalui kaedah Waqaf Korporat, hakmilik harta kekayaan boleh kekal terserah secara tidak langsung ke tangan rakyat terbanyak dan bukan cuma dimonopoli golongan terkaya dalam masyarakat. Al Qur’an juga tegas menganjurkan supaya harta kekayaan tidak dibiarkan berputar cuma di kalangan orang kaya saja dalam masyarakat. (Lihat maksud Ayat 7, Surah Al Hasyr, 59:7)


Jihad Bisnes nyata sangat inklusif, dan mengajak kita menyumbang kepada nilai ekonomi, memudahkan umat Islam diintegrasikan ke dalam sistem ekonomi global. Tegasnya, ia tidak menganjurkan kita menghalalkan segala cara, atau berjaya menerusi pendekatan dan cara bisnes yang merosak atau memudarat, jauh sekali menerusi kaedah yang batil, munkar, haram dan dilarang oleh Islam. Malahan, Jihad Bisnes menganjurkan supaya semua urusan bisnes dijadikan satu usaha ibadah dan satu perlumbaan dalam membuat kebaikan dan menyempurnakan amal soleh!


Ia juga sangat praktikal, boleh dicapai dan tidak mustahil dijayakan dengan berkesan. Pembaharuan mengikut kaedah Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan Islamic entrepreneurship yang dianjur dalam penulisan ini telah dijayakan dan diterjemah menjadi realiti selama hampir tiga dekad (1980-2010) di Johor Corporation.


Prospek menjadikan arus pembaharuan ini satu realiti lebih meyakinkan setelah Johor Corporation (JCorp) berjaya sebagai sebuah badan korporat cemerlang yang diterajui anak bangsa. Atas landasan Jihad Bisnes, JCorp menjadi bukti nyata bagaimana sebuah organisasi bisnes dan korporat milik kerajaan (GLC) boleh berperanan sebagai institusi pembangunan dinamik dengan program pembaharuan berkesan dan luar biasa.

Pencapaian korporat JCorp dilihat bukan saja dalam bisnes. Keupayaannya pernah diaplikasi ketika JCorp diamanahkan untuk membangun sebuah pusat bandar dan membina komuniti perbandaran baru di Pasir Gudang, Johor sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dijayakan dengan penuh cemerlang. Bermula daripada sebuah kampung nelayan kecil, Pasir Gudang berjaya dimajukan menjadi salah sebuah pusat pertumbuhan industri terulung di Malaysia. Paling menarik, pembangunan Pasir Gudang telah JCorp jayakan atas dasar amalan bisnes dan korporat, tanpa banyak bergantung kepada peruntukan dari Kerajaan sekaligus menjimatkan berjuta RM duit rakyat.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berpeluang menjalankan amanah selaku Presiden dan Ketua Eksekutif (CEO) Johor Corporation selama 28 tahun (daripada Januari, 1982 hingga Julai, 2010) dan juga Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang selama 26 tahun (Januari 1982 hingga Julai, 2008).


Justeru, penulisan ini juga merupakan satu perkongsian pengalaman dengan harapan semoga pencapaian JCorp dapat dipanjang dan dipercambahkan kepada GLC dan organisasi korporat lain. Tujuannya supaya usaha menebus maruah bangsa Melayu dan memartabatkan umat Islam sebagai khaira ummah dapat dilipatgandakan kejayaan dan impaknya.


Semoga langkah memperkasa ekonomi ini akhirnya berjaya mengembalikan darjat ’Khalifah’ kepada umat Islam, sekalipun ia mungkin memerlukan ratusan tahun sebelum dilihat kesannya.

Secara peribadi, saya amat bersyukur kerana mendapat sokongan dan persefahaman rakan seperjuangan yang selama ini telah mencurah jiwa raga untuk menjayakan cita-cita bersama di JCorp. Bakat keusahawanan dan semangat juang semua anggota pekerja JCorp (bukan ’kakitangan’ kerana ia bertentangan dengan semangat Jihad Bisnes) juga merupakan kunci kepada kejayaan dan pencapaian JCorp selama ini. Sumbangan rakan CEO barisan depan di syarikat utama sangat terserlah dan terbukti berjaya membina daya saing JCorp hingga ke peringkat antarabangsa.


Alhamdulillah, JCorp berjaya dibina sehingga menjadi organisasi korporat kebanggaan bangsa, dengan lebih 280 anak syarikat dan 65,000 warga kerja pada akhir Jun, 2010. Nilai aset kumpulannya melebihi RM14 bilion, dan nilai pasaran saham (market capitalisation) 8 syarikat tersenarainya termasuk satu di London Stock Exchange melebihi RM 11.8 bilion pada tarikh yang sama.


Bayangkan jika terdapat 14 GLC negeri yang juga organisasi korporat seperti JCorp di Malaysia. Sudah pasti peranan institusi semua organisasi ini berupaya membawa impak pembaharuan besar kepada perjuangan Melayu memartabatkan bangsa dan agamanya.


Pencapaian memberangsangkan JCorp tidak diukur berdasarkan ukuran bisnes dan material semata-mata. Saya sangat berpuas hati apabila JCorp berjaya membangun satu barisan eksekutif dan usahawan intrapreneur anak bangsa (atau dalam istilah lain, Islamic entrepreneur), yang berkebolehan tinggi dan berdaya saing di pasaran.


Tegasnya, semua ini dicapai menerusi konsep organisasi bisnes yang tidak cuma mengambil jalan mudah mengikut sepenuhnya acuan Kapitalis Barat. Demikian juga, kejayaan ini dicapai dengan tidak menggunakan kaedah model bisnes yang menghalalkan segala cara, terutama dengan cara bertentangan dengan nilai hidup Islam seperti yang banyak berlaku di sekeliling kita.


JCorp tegas menggunakan kaedah Islam. Model Islamik amalan JCorp difokuskan bagi membina keperkasaan korporat dengan menerapkan sepenuhnya nilai Islam ke dalam amalan bisnesnya. Pertama sekali, JCorp melihat dirinya lebih sebagai institusi strategik dalam pembaharuan bangsa dan umat. Penerapan nilai Islam dan penyerasiannya dengan amalan bisnes dan korporat menjadi raison d’etre kepada JCorp dan dijadikan DNA organisasi ini.


Justeru, struktur organisasi, susunan strategi, sistem pengurusan dan budaya korporatnya dicorak, dirangka, disusun dan diatur untuk menepati niat dan matlamat penyerasian dengan prinsip Islam. Saya penuh yakin dan percaya bahawa ciri-ciri Islam inilah yang memberi kekuatan hebat dan semangat juang luar biasa kepada JCorp, barisan kepimpinan serta semua lapisan anggotanya.


Semua pembaharuan ini telah diserap ke dalam gerak nadi dan dijadikan darah daging kumpulan JCorp menerusi proses syura dan proses pembudayaan yang panjang, membabitkan seluruh anggota di semua peringkat dan lapisan. Ia dirangkum dalam konsep Intrapreneur JCorp, institusi Waqaf Korporat yang diperkenalkan, dan aspirasi Jihad Bisnes yang diperjuangkan. Ia juga diterjemah ke dalam matlamat perjuangan JCorp itu sendiri yang bersendi kepada aspirasi menegakkan keadilan dan meletakkan semua pada tempatnya.

Konsep pembaharuan amalan JCorp ini juga telah kerap dibentang dan didebatkan di beberapa forum dan seminar di luar JCorp termasuk di peringkat universiti dan beberapa ”think tank” di Malaysia. Alhamdulillah, gagasan Jihad Bisnes serta model JCorp telah diterima oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan dijadikan landasan perjuangan Dewan ini. Konsep pembaharuan ini kemudiannya turut diterima sebagai salah satu Resolusi utama Kongres Ekonomi Islam Ke-3 di Kuala Lumpur pada 12-15 Januari, 2009. Lanjutan daripada itu, satu sidang khas Wacana Jihad Bisnes telah dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, (YAPEIM) pada 5 Ogos 2009 di Kuala Lumpur bertujuan untuk memperkembangkan lagi idea dan penerimaan gagasan ini.


Konsep pembaharuan ini juga telah diketengahkan dalam beberapa seminar dan forum antarabangsa, termasuk di Seminar Waqaf Antarabangsa di Johor Bahru pada Ogos 2008, di Istanbul, Turkey, pada Oktober 2008, di Kuwait pada Februari 2009, Brunei Darussalam, pada Ogos 2009 dan di Dubai pada Februari 2010.


Kali terakhir, ia dibentangkan di The Inaugural Oxford Global Islamic Branding and Marketing Forum anjuran Said Business School, Universiti Oxford, United Kingdom yang diadakan antara 25 Julai hingga 27 Julai 2010. Saya yakin Universiti Oxford mengundang saya berkongsi pengalaman di JCorp kerana kejayaan bisnes dan korporat JCorp jelas membuktikan kewibawaan pendekatannya menggunakan kaedah Islam hingga mencapai kecemerlangan bisnes.


Pada pagi Selasa, 27 Julai 2010, sebaik saya selesai membentangkan ucaptama bertajuk ”Keusahawanan Islam (Islamic entreprenenurship)” di Dewan Nelson Mandela, Said Business School, Universiti Oxford, pengerusi sesi, Dr Pegram Harrison, Felo Keusahawanan, Said Business School, Universiti Oxford menyerahkan satu nota ringkas tulisan tangannya kepada saya berbunyi: ”Splendid. Truly inspiring!”


Namun, sekembalinya saya dari London, iaitu pada pagi Khamis, 29 Julai 2010, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Johor Corporation, segala-galanya berubah sama sekali. Pengerusi JCorp, Dato’ Abdul Ghani Othman telah menyampaikan keputusan Lembaga Pengarah yang memeranjatkan saya.


Tanpa kehadiran saya dalam mesyuarat, juga tanpa diberi apa-apa isyarat atau notis awal, Lembaga Pengarah JCorp telah menarik balik serta merta semua kuasa Presiden/CEO yang selama ini diamanahkan kepada saya dan menyerahkannya kepada satu Jawatankuasa Pengurusan baru, tanpa saya menjadi ahlinya. Lembaga Pengarah JCorp juga menuntut saya meletakkan semua jawatan pengarah dalam semua syarikat anak dan sekutu JCorp.

Jelas sekali suasana dan sekitaran di JCorp tidak lagi kondusif bagi saya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan selaku Presiden/CEO. Tanpa diberi peluang mengetahui sebab-musababnya, saya telah dipaksa menerima hukuman yang jelas tidak berasas dan tidak wajar. Ia juga jelas tidak adil, kerana saya tidak berpeluang membela diri. Atas dasar menegakkan prinsip hidup, saya telah berundur dan meletakkan jawatan serta merta selaku Presiden/CEO JCorp. Namun, atas pertimbangan yang lebih besar, juga setelah mengambil kira tanggungjawab fidusiari selaku Pengarah syarikat PLC, saya telah tidak meletakkan jawatan selaku Pengerusi syarikat PLC dan menyerahkannya kepada keputusan muktamad oleh semua pemegang saham syarikat terbabit.

Semua ini kemudian diikuti sepucuk surat rasmi yang saya terima daripada JCorp bertarikh 7 Oktober 2010. Antara lain, kandungan surat ini menuntut saya ”…membuat bayaran ganti rugi notis bagi tempoh notis yang tidak disempurnakan iaitu sebanyak 5 bulan”.


Saya mengambil keputusan menulis buku ini kerana kebimbangan saya terhadap masa depan JCorp serta kesinambungan perjuangan Jihad Bisnes dan kelangsungan institusi Waqaf Korporat yang dibangunkan menerusi penubuhan syarikat Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp). Kerana jelas terdapat tanda-tanda, dalam konteks persekitaran baru, JCorp dan WANCorp kini sedang melalui proses pencorakan semula peranan institusinya.


Jika ini berlaku, segala yang dibina di JCorp selama 40 tahun sejak ia ditubuhkan (termasuk 10 tahun pertama asas kukuh yang dibina oleh Tan Sri Basir Ismail, Ketua Eksekutif pertama JCorp serta Tan Sri Othman Saat, Pengerusi pertama dan Menteri Besar ketika itu), akan terungkai satu demi satu, langsung mengakibatkan kemusnahannya.


Andai ia menjadi kenyataan, satu usaha besar bangsa Melayu dalam memperkasa ekonominya akan sekali lagi terbantut, malangnya akibat tindakan berfikiran singkat di kalangan orang Melayu dan umat Islam sendiri. Kemusnahan JCorp boleh berlaku dengan salah satu atau kombinasi semua impak daripada tindakan berikut:-

  • Tindakan menarik balik kuasa bertindak bebas pengurusan JCorp selama ini, dan autonomi syarikat anaknya, khasnya syarikat tersenarai (PLC) yang selama ini menempa kejayaan setelah mencontohi amalan bisnes dan urus-tadbir korporat sejagat. Ini telah pun berlaku kepada JCorp apabila ia diseru kembali kepada ”matlamat asal” dan mematuhi sepenuhnya rangka undang-undang penubuhannya. Dalam kata lain JCorp diarah kembali kepada status lamanya sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), sama seperti PKEN lain yang pada umumnya telah dijadikan alat politik dan tidak berupaya menyumbang kepada kekuatan ekonomi Melayu dan umat Islam seperti yang dicita-citakan;
  • Kecenderungan menjual aset dan harta JCorp andainya dilakukan tanpa berfikir panjang, iaitu dengan cara ”asset stripping”, pada mulanya atas alasan menjelaskan hutang dan pinjaman JCorp melebihi RM3.6 bilion yang perlu dibayar balik menjelang Julai 2012. Dengan jumlah nilai harta melebihi RM14 bilion, JCorp mampu dan berupaya membayar balik secara terancang dan mengikut jadual yang boleh diterima oleh pihak bank peminjam.
  • Sekalipun baru-baru ini JCorp telah menegaskan tidak akan menjual aset dan bisnes QSR Brands Bhd dan KFC Holdings Bhd milik syarikat anaknya iaitu Kulim Malaysia Bhd, tidak mustahil setelah bahang daripada tentangan masyarakat Melayu sejuk kembali, aset dan bisnes strategik kepada perjuangan ekonomi bangsa dan umat ini berkemungkinan akan dijual juga kemudian nanti. Kerana penjualan aset dan bisnes, khasnya yang dimiliki kerajaan, adalah antara cara paling mudah untuk sesiapa, termasuk para penasihat korporat dan investment banker, menjadi cepat kaya;
  • Andainya satu hari nanti JCorp terus bertindak melepaskan pegangan saham PLC yang berperanan strategik dalam membina kekuatan jangka panjang ekonomi Melayu serta memperkasa daya saing Melayu-Muslim, (seperti dalam syarikat Kulim Malaysia Bhd, KPJ Healthcare Bhd, QSR Brands Bhd dan KFC Holdings Malaysia Bhd, pemilik rangkaian restoran di bawah jenama KFC dan Pizza Hut terbesar di rantau ini), ia akan menjejas kepentingan jangka panjang ekonomi bangsa Melayu dan melenyapkan potensi membina keupayaan bisnes dan korporat untuk generasi masa depan;
  • Paling membimbangkan bagi saya ialah berlakunya suasana dalaman di JCorp yang mengakibatkan kehilangan autonomi pengurusannya. Ini boleh berlaku, misalnya sebagai kesan sampingan negatif tindakan kepimpinan politik dan pihak ketiga lain yang mencampuri secara langsung, iaitu micro-managing hal ehwal operasi bisnes JCorp. Semua ini akan mematahkan daya motivasi, entrepreneurial drive dan semangat juang seluruh lapisan anggota JCorp dan kumpulan syarikatnya.
  • Sumber motivasi perkasa dan entrepreneurial drive JCorp selama ini telah dipupuk berdasarkan iklim organisasi, suasana pengurusan dan amalan budaya korporat yang mengupayakan dan memperkasa (empowering) semua eksekutif dan intrapreneur terbabit. Ia dijayakan dengan membuka luas ruang bertindak serta memberi kebebasan kepada intrapreneur menzahirkan inisiatif, daya kreatif dan bakat keusahawanan masing-masing.
  • Iklim organisasi di JCorp juga harus terus bersikap toleransi terhadap kegagalan bisnes kecilan dan start-up. Ia bertoleransi terhadap kegagalan bisnes, asalkan semua terlibat memanfaatkan pengalaman pahit ini untuk bangkit semula dan maju ke depan. Ia juga berandaian bisnes start-up yang berjaya dan menguntungkan dapat membesar dan berkembang, bukan saja untuk menampung kegagalan dan kerugian start-up, malah pada jangka panjangnya menyumbang kepada pertambahan nilai dan penjanaan harta kekayaan dan dana JCorp.

  • Jelas sekali iklim dan suasana entrepreneurial yang diperlukan ini tidak akan subur dalam organisasi birokratik yang lebih mengutamakan pematuhan kepada peraturan, undang-undang dan cuma mengikut arahan dari pihak atasan, khasnya daripada pihak luar JCorp.

  • Terdapat tanda-tanda campur tangan pihak di luar organisasi JCorp, termasuk dari pentadbiran Kerajaan Negeri dan pihak lain yang cuba mencorak semula suasana pengurusan dan berkemungkinan mematahkan semangat dan daya keusahawanan di JCorp. Paling bahaya sekiranya syarikat dalam Kumpulan JCorp dicampuri kepentingan luar, digesa merombak sistem tender dan tekanan dikenakan supaya penawaran kontrak dibuat mengikut kaedah yang tidak telus dan berprinsipkan komersial.

  • Demikian juga, semangat juang JCorp akan segera patah atau layu, apabila sistem pengiktirafan dan ganjaran tidak setimpal dengan usaha dan risiko mengikut prinsip dan amalan bisnes. Paling merosakkan andainya kadar ganjaran serta sistem pengiktirafan dilaksanakan mengikut kaedah amalan pentadbiran kerajaan untuk warga birokrat. Sistem amalan birokrasi sangat tidak sesuai untuk melahirkan daya keusahawanan tinggi dan jika dipaksa ke atas JCorp dan kumpulan syarikatnya akan hanya membawa kepada proses kemusnahan dan kehancurannya.

Jika semua ini berlaku juga, ertinya Jihad Bisnes akan terputus dipersimpangan jalan dan Waqaf Korporat yang modelnya telah pun diiktiraf ramai pihak akan berkubur tanpa nisan. Hilanglah sama sekali peluang bangsa Melayu menjayakan satu perjuangan yang berpotensi membawa pembaharuan untuk membina kembali martabat bangsa dan agamanya. Sia-sialah usaha membina keperkasaan ekonomi bangsa dan umat alyadul uliya.


Sekiranya semua ini dilakukan atas niat pihak tertentu yang berkepentingan sempit bertujuan merebut peluang untuk cepat kaya dengan ”memfaraidkan” atau menswastakan JCorp, ertinya ”Superman” telah berjaya menewaskan ”Khalifah”. Terlepaslah buat selamanya satu kesempatan bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia memperbaharui destini masa depan bangsa di bidang ekonomi mengikut acuan Islam yang mengutamakan kepentingan jemaah dan rakyat terbanyak yang dahagakan pembelaan.


Lebih tragis lagi, akan langsung hilang peluang unik bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia, sebagai salah sebuah negara Islam termaju di dunia, menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayahnya untuk memperkasa dan membela nasib umat Islam di seluruh dunia, yang pada sebahagian besar ditindas, dizalimi, dianiaya, dijajah dan diperkosa hak asasi oleh umat lain kerana kelemahan ekonomi mereka.


Semoga kebimbangan saya ini tidak akan menjadi kenyataan. Jika ia berlaku juga, keruntuhan JCorp akan mengulangi dan menambah satu lagi tragedi besar yang menghantui nasib bangsa Melayu dalam membina kekuatan ekonominya sejak berzaman.

Paling mendukacitakan, setelah JCorp hancur berkecai, menyesal kemudian tidak lagi berguna. Kerana setelah JCorp tumbang, musnah dan hancur, ia mustahil dibina semula. Nasi sudah menjadi bubur!


Renungkan pengajaran disebalik kisah Humpty Dumpty dalam nursery rhyme Inggeris yang kita kenali sejak zaman kanak-kanak lagi:-

”Humpty Dumpty sat on a wall

Humpty Dumpty had a great fall;

All the king’s horses,

And all the king’s men,

Could not put Humpty Dumpty

together again!”

Muhammad Ali Hashim,

Taman Tun Dr Ismail,

Kuala Lumpur.

ali.bizjihad@yahoo.com

from: www.businessjihad.com

~ Isu perletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebagai Presiden/CEO JCorp telah menjadi tanda tanya ramai pihak. Terutamanya apakah sebab beliau meletak jawatan sedangkan dalam tempoh beberapa bulan akan ada pemilihan dan beliau boleh berundur dengan tidak bertanding. Timbul perasaan kesal kerana beliau merupakan ahli korporat islam yang selalu memperjuangkan Jihad dalam perniagaan.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger