Tuesday, August 30, 2011

SELAMAT HARI RAYA & HARI KEMERDEKAAN Ke 54

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sahabat2 dan semua. Di pagi hari raya ini saya mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua. Maaf dari zahir dan batin. Maafkan jika terkasar bahasa dan tingkah laku semasa berkenalan. Ini pantun dari saya:

"Anak kecil beraya sakan,
Beraya dengan rakan taulan,
Selamat hari raya ku ucapkan,
Maaf zahir & batin"

"Beraya riang sukahati,
Sambil berziarah sana sini,
Semoga Allah merahmati,
Sambutan kita di tahun ini"

"Mercun berdentum gamit suasana,
Tanda hari raya akan menjelma,
Saling bermaafan kita bersama,
Tanda hidup satu rukun seagama"

"Kain songket dan tenun jadi pilihan,
Buat baju raya hingga hari ke enam,
Sambil kita beraya sakan,
Jagan dilupa puasa enam"


Hehe.. Saja mengubah pantun di pagi hari raya. Untuk tatapan sahabat-sahabat saya semua.

Di samping itu juga,saya nak ucapkan selamat kemerdekaan ke 54 kepada Malaysia dan warganegara Malaysia. Diharapkan semoga kita sebagai warganegara Malaysia bersyukur dengan apa yang ada dan apa yang dicapai oleh negara ini. Dan janganlah melampau untuk meminta sesuatu dan dalam menyuarakan kehendak dan pendapat. Sesungguhnya,tiada apa yang baik akan kita dapati dengan cara yang melampau. Kita telah dikurniakan oleh Allah akal fikiran dan kebijaksanaan. Gunakan lah ia untuk menilai dengan bijak situasi yang berlaku di negara-negara Asia Tengah,Afrika dan England. Bagi saya ia ibarat perpatah orang lama, "Yang menang jadi arang,yang kalah jadi abu". Semua pihak yang rugi,negara hancur, yang UNTUNG?

O.R.AN.G L.U.A.R....

Pinjam kata-kata seorang ustaz di Hot.fm, " Fikir-fikirlah dan selamat beramal".




Tuesday, May 24, 2011

Who is your idol?

Rasa-rasanya hampir kebanyakan daripada kita pernah diajukan dengan pertanyaan ini. Sama ada sewaktu sekolah, di universiti, di alam perkejaan malah sesekali ditanya oleh si kecil cilik kita. Agak-agak ingat tak apa jawapan kita? Hmm...

Cuba kita bertanya kepada diri sendiri. Siapa idola hidup kita? Kita akan dapat pelbagai nama-nama tokoh yang hebat dan terkenal. Dari bidang akademik, politik, sains, kemasyarakatan dan pelbagai lagi. Dan saya pasti jika pada zaman saya sekolah rendah, nama yang paling terkenal ialah Bapa Permodenan Negara, mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tentu semua tidak nafikan keupayaan dan kecerdikannya dalam memajukan Malaysia sehingga diiktiraf di peringkat dunia.

Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah apakah jawapan yang akan diberikan oleh anak-anak muda kita sekarang? Saya pasti nama yang disebutkan ialah artis-artis terkenal seperti Justin Bieber, Lady Gaga atau Micheal Jackson. Ataupun bintang-bintang ternama bola sepak seperti Cristian Ronaldo, Lionel Messi, Wayne Rooney kalau tak pun David Beckham. Dan mungkin juga artis-artis AF, Mentor dan sebagainya.

Pernah dengar buku bertajuk The 100, a Ranking of the Most Influential Persons in History, Michael H. Hart? Sebuah buku yang menceritakan tentang kajiannya tentang kekuatan pengaruh tokoh-tokoh dan dia meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh No.1 yang paling berpengaruh dalam sejarah mengatasi Tokoh Dunia Fizik, Isaac Newton dan Albert Einstain. Bayangkan jika seorang manusia bukan Islam mengatakan Rasulullah seorang tokoh yang hebat dan paling berpengaruh, mengapa kita sebagai seorang Islam tidak menjadikan baginda idola hidup kita? Mengapa kita menyampingkan baginda dan memilih tokoh-tokoh yang lain sebagai idola kita? Dan mengapa kebanyakan anak-anak muda kita, sebagai pelapis pemimpin agama, bangsa dan negara memilih tokoh-tokoh dan artis lain sebagai idola berbanding baginda?

Itulah yang berlaku di sekeliling kita. Apabila yang tidak sepatutnya menjadi idola hidup, maka banyak isu sosial dan masalah kemasyarakatan yang timbul. Bukan saya mengatakan semua masalah berpunca dari idola hidup kita. Tetapi menjadi fitrah manusia bertindak mengikut contoh tindakan orang lain/berpengaruh terhadap mereka. Contoh mudah, jika bapanya merokok, tidak mustahil anaknya akan merokok. Jika ibunya tidak bertudung, tidak mustahil anak gadisnya tidak bertudung. Dan jika tokoh artisnya berpakaian sendat dan seksi, tidak mustahil pengikutnya akan turut berpakaian itu. Memang itulah fitrah manusia.

Bukan sudah diberitahu oleh Rasullulah SAW, "Berpeganglah pada AL-quran dan ikutlah sunnah ku, kamu pasti akan tidak terpesong". Jika Rasulullah SAW menjadi idola hidup kita, sudah pasti kita akan menjadi seorang insan yang berperibadi yang mulia. Dan bukannya artis atau tokoh atau orang lain yang layak menjadi idola kita.

Tetapi,saya tidak menyatakan mengambil tokoh idola lain adalah salah cuma Nabi Muhammad SAW adalah idola terbaik untuk kita.

Cubalah hayati lagu ini:

Sunday, May 22, 2011

Do you check your heart (HATI) regularly?

Baru-baru ini, timbul minat mendalam terhadap pembacaan majalah yang lebih berat dan mendalam topiknya. Antaranya Al-Islam,PC, dan terbaru Solusi. Dan saya akui, saya dah mula jatuh hati dengan majalah Solusi ini. Saya kagum dengan cara penceritaan dan kupasan isu bagi setiap keluaran. Topik bagi keluaran pertama yang saya beli adalah Sabar Itu Indah. Hmm..banyak yang ilmu yang saya dapati dari majalah seperti ini.

Dalam pembacaan berkaitan isu sabar ini, saya dapat simpulakan semuanya berkaitan dengan hati seseorang itu. Makin sihat hati tersebut, makin kuat sabar seseorang itu. Bukan sabar sahaja malah semua perbuatan, tindak tanduk, percakapan dan pemikiran akan menjadi indah dan mulia jika hati kita sihat. Hmm..persoalannya apakah alat atau kaedah untuk pastikan hati kita sentiasa sihat.

Menurut Ibnu Qayyim, ada enam faktor yang menyebabkan hati kita sakit. Akibat dari gaya pergaulan yang tidak bermanfaat (perbuatan sia-sia), angan-angan yang berpanjangan, bergantung pada selain Allah, perut yang kenyang dan banyak tidur.

Kesihatan hati sama sahaja dengan kesihatan fizikal kita. Jika kita perlu bersenam, mengambil vitamin dan jaga pemakanan untuk pastikan badan kita sihat. Maka, hati juga memerlukan pemakanan dan senaman bagi pastikan ia sentiasa sihat. Antara makanan dan senaman bagi hati bagi seorang Islam ialah zikir, istigfar dan selalu mengenangkan anugerah Allah kepada kita dan bersyukur. InsyaAllah, hati kita akan sentiasa sihat.


Adapted from Youtube

Saturday, January 15, 2011

Tan Sri Muhammad Ali Hashim: Kenyataan Media Berkaitan Perletakan Jawatan Dalam 6 Syarikat PLC

KENYATAAN MEDIA,

Kuala Lumpur, 12 Januari, 2011

PELETAKAN JAWATAN TAN SRI MUHAMMAD ALI HASHIM SELAKU PENGARAH DAN PENGERUSI,

DI 6 BUAH SYARIKAT PLC DI BAWAH JCORP:

KULIM MALAYSIA BHD,

KPJ HEALTHCARE BHD,

DAMANSARA REALTY BHD,

KFC HOLDINGS MALAYSIA BHD,

QSR BRANDS BHD, DAN

KPJ AL AQAR REIT BHD.

Seperti sedia maklum, JCorp telah memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah Kulim Malaysia Bhd dan KPJ Healthcare Bhd pada 12 Januari dengan tujuan menyingkir saya daripada jawatan Pengerusi syarikat dan melantik Tuan Haji Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden/CEO JCorp bagi mengganti saya.


Langkah ini adalah langkah awal dan tindakan persediaan JCorp sebelum Mesyuarat Agong Luar Biasa yang akan bermula dengan Kulim Malaysia Bhd pada 17 Januari, 2011, disusuli oleh Damansara Realty Bhd pada 21 Januari, dan KPJ Healthcare Bhd pada 26 Januari, 2011. Tujuan saya diketepikan daripada jawatan Pengerusi ialah untuk memudahkan proses mendapat persetujuan ahli atau pemegang saham syarikat di Mesyuarat Agong.

Saya pasti ramai di kalangan pemegang saham minoriiti khasnya akan tertanya-tanya sebab-musabab penyingkiran ini perlu dilakukan yang jelas sekali bukan atas sebab prestasi rendah syarikat, salah laku, ketidak-cekapan atau penyelewengan oleh Pengarah dan Pengerusi terbabit. Soalan yang dibangkitkan oleh CEO MSWG satu ketika dulu sebenarnya masih lagi menantikan jawapan!

Menerusi Kenyataan Media ini saya mengesahkan bahawa saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya selaku Pengarah dan Pengerusi ke tiga-tiga syarikat terbabit, berkuatkuasa 12 Januari, 2011.

Selain itu, saya juga telah menghantar surat peletakan jawatan selaku Pengarah dan Pengerusi QSR Brands Bhd, KFC Holdings Malaysia Bhd, dan KPJ Al Aqar REIT Bhd, ketiga-tiganya juga merupakan syarikat PLC dalam Kumpulan JCorp. Ini saya lakukan kerana saya boleh menjangka bahawa langkah menyingkir saya daripada 3 lagi syarikat ini akan JCorp ambil setelah berjaya menyingkir saya selaku Pengerusi Kulim dan KPJ Healthcare khasnya.

Yang lebih penting, pertimbangan utama dalam mengambil tindakan ini ialah kerana sesungguhnya saya berpendapat bahawa saya telah mencapai semua matlamat utama yang saya tetapkan ketika meletak jawatan selaku Presiden/CEO JCorp secara serta-merta pada 29 Julai, 2011.

Antara matlamat yang saya gariskan ketika itu (yang telah saya masukkan ke dalam cadangan dan perakuan bertulis saya kepada Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah JCorp sebelum saya meletakkan jawatan), ialah:-

  1. Mengelakkan JCorp daripada melantik eksekutif luar selaku Presiden/CEO mengganti saya. Ketika itu khabar angin kencang menyatakan minat pihak yang berkuasa ke atas JCorp menuju ke arah itu. Ini membimbangkan saya kerana JCorp adalah sebuah organisasi korporat yang sangat kompleks, dan saya berpandangan yang paling sesuai dan layak ialah penggantian dalaman, khasnya dari kalangan Pengurusan Atasan yang telah bersama membina JCorp selama ini.

Alhamdulillah, pelantikan CEO daripada luar tidak lagi menjadi isu di JCorp;

  1. Kini, Tuan Haji Kamaruzaman Abu Kassim, telah pun disahkan dalam jawatan selaku Presiden/CEO JCorp, dan saya mengalu-alukan pelantikan beliau.

Saya manyambut baik perkembangan ini kerana Tuan Haji Kamaruzzaman adalah salah seorang daripada 5 orang Pengurusan Atasan JCorp yang saya perakukan;

  1. Mengelakkan JCorp daripada dipaksa menjual aset atau bisnes strategiknya atas alasan menyelesaikan beban hutang berjumlah RM3.6 bilion yang wajib dibayar balik pada pertengahan 2012.

Sebelum saya meletakkan jawatan lagi telah terdapat spekulasi mengenai ‘rancangan’ penjualan QSR Brands Bhd (pemilik KFC) kepada pihak berminat. Spekulasi ini menjadi kenyataan apabila kemudiannya Kulim (pemilik majoriti saham QSR Brands Bhd) mendapat bida daripada dua kumpulan yang berminat, iaitu daripada Tan Sri Halim Saad dan Carlyle Group.

Alhamdulillah, bida ini telah ditolak dengan tegansnya oleh Lembaga Pengarah Kulim sewaktu saya Pengerusinya, dengan persetujuan rasmi JCorp. Mudah-mudahan amanah yang saya pegang dan tanggungjawab fidusiari saya selaku Pengarah PLC telah saya sempurnakan. Justeru, setelah QSR Brands selamat daripada jualan paksa, satu lagi matlamat saya memperjuangkan kepentingan jangka panjang JCorp telah tercapai;

  1. Matlamat saya seterusnya ialah menentukan masyarakat Melayu khasnya dan sektor korporat Malaysia amnya dimaklumkan sepenuhnya mengenai apa yang sedang berlaku di JCorp, terutama mengenai isu berkaitan kepentingan syarikat PLC strategik milik JCorp.

Sebabnya, saya yakin cadangan menjual QSR Brands (dan menerusi QSR melibatkan penjualan KFC Holdings Malaysia Bhd), serta menswastakannya, sekalipun merupakan hak JCorp sebagai pemegang saham utama memutuskannya, perlu melibatkan pandangan rakyat Melayu, terutama kerana terdapat juga kepentingan besar bangsa Melayu, termasuk kepentingan ekonomi generasi masa depan. Pandangan rakyat dan kepentingan besar mereka wajib didahulukan!

Alhamdulillah, dengan bangkitnya kesedaran masyarakat terhadap isu ini sehingga mendapat perhatian NGO-NGO serta individu profesional, akademik dan korporat di seluruh negara, semakin ramai yang berpendapat kepentingan besar rakyat mahukan syarikat PLC strategik milik GLC dikekalkan dan tidak ‘difaraidkan’.

  1. Pada akhirnya, pertimbangan yang juga saya utamakan dalam meletak jawatan Pengarah dan Pengerusi syarikat terbabit ialah menentukan apa pun tindakan yang saya ambil tidak seharusnya menjejas kewibawaan dan nama baik JCorp. Demikian juga, ia tidak harus merosakkan kebulatan pasukan pengurusan dan seluruh warga JCorp. Yang paling tidak saya ingini ialah melihat JCorp musnah atau dirobak-rabikkan, atau langsung lemah dan lesu oleh konflik dalaman dan ketidaksefahaman.

Lebih penting lagi, yang berkaitan langsung dengan Mesyuarat Lembaga Pengarah dan EGM, sekiranya diteruskan dengan saya menjadi isu utama, ia boleh merosakkan. Saya juga tidak rela dan tidak mahu menyaksikan situasi di mana beberapa rakan seperjuangan saya dulu di JCorp terpaksa mengambil keputusan yang akan mengakibatkan hapusnya tali silaturrahim dan ukhkhuwah antara saya dengan mereka.

Sebagaimana yang kerap saya tegaskan, saya tidak penting dan tidak harus lagi dijadikan isu. Yang penting ialah perjuangan JCorp yang selama ini berlandaskan aspirasi murni Jihad bisnes dapat diteruskan untuk membina bangsa dan negara serta membela agama.

Justeru, setelah memikirkan sedalam-dalamnya, dan dengan niat melindungi kepentingan jangka panjang yang lebih besar bagi bangsa Melayu dan umat Islam, saya mengambil keputusan mengundur diri daripada jawatan tersebut.

Selaku Presiden dan CEO JCorp, demikian juga selaku Pengerusi dan Pengarah syarikat PLC milik JCorp saya telah menerima amanah untuk memberi yang terbaik bagi manfaat bangsa, agama dan negara. Telah tiba masanya saya serah kembali amanah tersebut kepada bangsa Melayu khasnya dan warga Malaysia amnya untuk menentukan supaya amanah ini disempurnakan pula oleh mereka yang mengganti saya memikul tanggungjawab ini selanjutnya.

Saya doakan semoga semua ini akan dapat sempurnakan oleh warga JCorp di bawah kepimpinan Tuan Haji Kamaruzzaman Abu Kassim dan rakan-rakan CEO yang lain di peringkat PLC.

Muhammad Ali Hashim

Kuala Lumpur,

e-mel: ali.bizjihad@yahoo.com

Blog: www.businessjihad.com

12 Januari, 2011.


from: www.businessjihad.com



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger